"Keluarga kami tiada tema tertentu. Biasanya, adik beradik saya beli sendiri baju. Mereka sudah berkeluarga dan bekerja. Jadi, mereka lebih suka berdikari.
"Walaupun kerjaya saya semakin selesa, namun, saya tetap bersederhana dan tidak berlebih-lebihan dalam membuat persiapan Aidilfitri," katanya.
Mengenai juadah kegemaran, Aina suka rendang daging yang dimakan bersama lemang dan ketupat palas.
Selepas sebulan berpuasa, bagi Aina, Syawal adalah waktu untuk dia menikmati pelbagai jenis juadah dan melupakan diet sementara waktu.
Aina mengaku menjamu selera sepuas-puasnya selama lima hari dan kembali menjaga pemakanan selepas itu.
"Untuk hari raya, saya langgar pantang buat seketika.
"Takkanlah orang lain makan sedap-sedap, saya hanya makan salad depan mereka," katanya berseloroh.
Mengimbau kenangan kali pertama menyambut Aidilfitri tanpa kehadiran insan bergelar ayah, Aina mengaku, detik itu dianggap hari raya paling suram dan sunyi buat mereka.
Bapa Aina, Allahyarham Abd Ghani Abdullah meninggal dunia kira-kira 15 tahun lalu, iaitu ketika Aina menuntut di Tingkatan Tiga, berpunca komplikasi pelbagai penyakit.
"Ketika itu dianggap hari raya paling sunyi, sangat syahdu dan pilu buat kami sekeluarga. Apatah lagi, saya rapat dengan arwah ayah.
"Bertahun-tahun untuk saya terima kenyataan itu. Tetapi, semakin lama, saya sudah reda. Walaupun ayah sudah lama pergi, kami tidak lupa menziarah kubur ayah setiap kali hari raya," katanya.
Sumber: BH ONLINE