Seorang pelayan wanita di Jepun dipecat selepas dia didapati mencampurkan darahnya sendiri ke dalam minuman pelanggan, lapor portal berita MailOnline.
Awal bulan ini, Kafe Mondaiji Con Daku di Sapporo, Hokkaido memohon maaf atas tindakan kakitangannya dan mengumumkan pemecatan pelayan itu di laman Twitter.
Kafe itu popular dengan menu minum sampai puas dengan bayaran cuma 2,500 yen (RM82) sejam.
 Pelayan Masukkan Darah Sendiri Dalam Minuman Pelanggan
Pemilik Kafe Mondaiji Con Daku berkata, kedai itu akan ditutup sementara mereka menggantikan setiap gelas minuman.
“Kami akan mengupah kontraktor untuk membersihkan kedai, menukar gelas dan membuang minuman beralkohol yang mungkin telah tercemar.
“Sekali lagi, saya sangat menyesal kerana telah menimbulkan masalah kali ini,” kata Daku dalam kenyataannya di Twitter.
Berikutan kejadian itu, seorang doktor memberi amaran bahawa perbuatan meminum darah orang lain adalah sangat berbahaya.
Bercakap kepada laman berita Flash, Dr. Zento Kitao memberi amaran bahawa sesiapa yang telah mengunjungi kafe itu harus berjumpa doktor dan mengambil ujian darah.
“Kes orang dijangkiti daripada meminum darah orang lain jarang berlaku tetapi penyakit utama boleh disebarkan melalui darah termasuk HIV, Hepatitis C, Hepatitis B dan sifilis,” katanya.
Sumber: KOSMO!ONLINE |