Panggilan kebakaran di Pulau Pinang mencatatkan peningkatan sebanyak 75.6 peratus susulan cuaca panas yang sedang melanda ketika ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Saadon Mokhtar berkata, sehingga 12 April lalu, jumlah panggilan kebakaran diterima oleh JBPM Pulau Pinang adalah sebanyak 72 kes berbanding 41 kes yang diterima tahun lalu.
JBPM Pulau Pinang menerima peningkatan panggilan membabitkan kes kebakaran sebanyak 75.6 peratus susulan cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini.
“Musim panas yang berlaku ketika ini memberi kesan terhadap peningkatan jumlah panggilan kebakaran yang diterima oleh JBPM Pulau Pinang.
“Data yang amat mengejutkan juga menunjukkan seramai tiga mangsa telah terlibat di dalam kebakaran bangunan bagi bulan April ini sahaja berbanding tidak ada mangsa direkodkan bagi tahun lepas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran berjaga-jaga tahap satu di enam kawasan di Semenanjung Malaysia susulan cuaca panas mencecah suhu maksimum harian 35-37 darjah Celcius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Setakat ini, terdapat tiga mangsa yang maut akibat kebakaran di Pulau Pinang di mana seorang kanak-kanak perempuan, G. Sri Laavanya maut dalam kebakaran rumahnya di Kampung Pisang, Air Itam, awal pagi Isnin lalu.
Dalam kejadian petang kelmarin pula, seorang wanita OKU, Nuraida Hashim, 43, turut maut dalam kebakaran rumahnya di Kampung Alma, Bukit Mertajam.
Seorang lagi mangsa yang masih belum dikenal pasti identiti turut ditemukan maut dalam kebakaran di sebuah rumah kedai di Jalan Jalan Seri Bahari, awal pagi semalam.
Menurut Saadon, bagi pecahan kepada jumlah kebakaran yang melibatkan struktur bangunan pula, JBPM negeri menerima sebanyak 13 kes berbanding sembilan kes tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 44.4 peratus.
Dalam pada itu, katanya, JBPM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan tahap keselamatan kebakaran berada dalam keadaan terbaik.
“Orang ramai perlu memastikan keselamatan kebakaran di rumah kediaman dan premis berada pada tahap yang baik lebih-lebih lagi ketika musim panas yang sedang melanda negara pada ketika ini,” katanya.
Sumber: UTUSAN |