|
Penyanyi Khai Bahar mahu lebih berhati-hati dalam setiap hubungan mahupun pergaulan agar tidak timbul isu mempermainkan hati wanita seperti dakwaan seorang pengguna Twitter, baru-baru ini.
Khai atau nama sebenarnya, Muhammad Khairul Baharuddin, 28, berkata disebabkan perwatakannya mudah mesra dengan orang, secara tidak langsung ia membuka ruang untuk isu berkenaan timbul.
"Saya akan lebih berhati-hati. Saya juga dapat teguran rakan dan keluarga supaya tak terlalu manis mulut dengan orang lain.
"Disebabkan saya mudah mesra, jadi apabila sudah rapat, mungkin akan ada timbul perkara seperti ini. Sejujurnya, apabila perkara ini timbul, saya agak keliru.
"Apa yang berlaku hanya salah faham. Apabila saya baca hantaran itu, saya memang terkejut dan terus hubungi individu dikaitkan.
"erkara ini juga sudah diselesaikan secara baik," katanya kepada BH Online.
Khai berkata, dia bersyukur perkara itu dapat diselesaikan secara baik. Malah, Khai menganggap apa yang terjadi sebagai asam garam bergelar selebriti.
"Saya tidak mahu perkara ini berpanjangan. Saya fikir tiada salah pun dengan orang. Jadi, Alhamdulillah perkara ini dapat diselesaikan.
"Saya kenal individu itu, cuma seperti yang diperkatakan, perkara ini hanya salah faham sahaja.
"Bagi saya, perkara ini adalah lumrah, kalau bukan selebriti pun akan ada juga terkait dengan perkara seperti ini," katanya.
Terdahulu, seorang wanita memuat naik ciapan di Twitter yang mendakwa Khai meninggalkan kawannya tanpa alasan selepas menabur beberapa janji.
Sebelum ini, Khai pernah dikaitkan dengan beberapa selebriti tempatan seperti seperti Siti Nordiana dan Hawa Rizwana.
Dalam perkembangan lain, Khai bakal memeriahkan majlis berbuka puasa bersama penghuni rumah kebajikan, Raudhatul Al Faeez di Hotel Grand Barakah, Ampang pada 14 April depan.
Sumber: BH ONLINE
|
|