|
Pelawak dan pengacara, Didie Alias lebih rela menguruskan sendiri karnival jualan selepas serik ditipu rakan kongsi yang didakwa 'lesap' dengan wang pendahuluan peserta bazar bernilai RM300,000, dua tahun lalu.
Mengambil pendekatan 'one man show', Didie dibantu suami dan anak-anak dalam mengendalikan karnival jualan bagi mengelak ditipu.
"Saya rasa lebih selamat buat sendiri selepas serik ditipu rakan kongsi yang lari dengan wang pendahuluan peserta bazar bernilai RM300,000 bagi acara di Sibu, Sarawak dan Karnival Hari Raya di Kuala Lumpur, dua tahun lalu.
"Alhamdulillah, selepas setahun, saya berjaya melangsaikan hutang semua 130 usahawan pada Ogos tahun lalu melalui bantuan penaja.
"Sebagai balasan, saya perlu membantu penaja terbabit melakukan kerja promosi dan pemasaran," katanya yang bergerak sendirian sejak November lalu melalui jenama acara, Stylo Fest bermula di Kota Kinabalu, Sabah.
Didie berkata, ketika berdepan insiden ditipu rakan kongsi, dia tidak melarikan diri, sebaliknya berbincang dengan peniaga melalui aplikasi Zoom.
"Memang hampir bergaduh, namun, saya berusaha tangani masalah sebaik-baiknya dengan menyatakan kepada usahawan, saya tidak lari ke mana-mana.
"Malah, saya beri alamat pejabat jika peniaga sangsi dengan saya. Saya beritahu wang akan diganti secara berperingkat," katanya pada sidang media Stylo Fest Mega Raya 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di ibu negara, baru-baru ini.
Sebelum ini, Didie dilaporkan membuat laporan polis mendakwa ditipu rakan kongsi dalam insiden berkenaan.
Berkongsi mengenai penganjuran Stylo Fest Mega Raya 2023, Didie berkata, acara itu akan berlangsung tiga hari, iaitu mulai 14 April tanpa henti selama 73 jam.
Dengan lebih 400 gerai, karnival itu dijangka menarik lebih tiga juta pengunjung.
Antara artis yang menyertai acara berkenaan adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Puteri Sarah Liyana, Rozita Che Wan, Nubhan, Mark Adam, Aidil Aziz, Zaki Yamani dan ramai lagi.
Menyentuh soal keselamatan, Didie berkata, pihaknya menyediakan lebih 30 pengawal dibantu anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi memantau keadaan setiap masa.
Selain itu, sistem imbasan diperkenalkan bagi menyimpan data pengunjung untuk tujuan keselamatan susulan insiden menimpa pelakon Kamal Adli dicederakan pada karnival jualan di Singapura, baru-baru ini.
"Saya sedar aspek keselamatan perlu dititikberatkan apabila membabitkan ramai pengunjung. Jadi, kami letak mesin pengimbas di pintu utama," katanya.
Sumber: BH ONLINE
|
|