|
OZIL sering diingati kerana terbabit dengan kerja-kerja amal. FOTO Agensi
London: Legenda bola sepak Jerman, Mesut Ozil sudah mengumumkan persaraannya semalam selepas melalui karier yang hebat bersama skuad kebangsaan serta kelab gergasi Real Madrid dan Arsenal.
Ozil antara watak penting membantu Jerman menjulang Piala Dunia 2014 selain meraih kejayaan membanggakan bersama Real serta Arsenal.
"Selepas membuat pertimbangan yang bernas, saya mengumumkan persaraan serta-merta daripada bola sepak profesional.
"Saya memperoleh keistimewaan sepanjang menjadi pemain bola sepak antarabangsa selama hampir 17 tahun dan sekarang saya berasa amat berterima kasih atas peluang itu," katanya yang kali terakhir mewakili kelab Turki, Istanbul Basaksehir.
Bagi komuniti Islam, Ozil lebih diingati apabila kerap melakukan kerja-kerja amal selain lantang memperjuangkan isu penindasan kaum dan etnik Islam di seluruh dunia.
Dia pernah menderma sebanyak 101,000 euro (RM488,000) kepada pasukan Bulan Sabit Merah Turki untuk kempen bantuan yang dijalankan pada bulan Ramadan, tiga tahun lalu.
Bulan Sabit Merah Turki dalam satu kenyataan ketika itu berkata, derma yang disumbangkan oleh Ozil itu digunakan untuk menyediakan 2,800 bungkusan makanan kepada golongan yang amat memerlukan di Turki.
Selain itu, 1,000 bungkusan makanan di hantar ke Indonesia, 750 bungkusan lagi untuk Muslim Rohingya di kem pelarian di Bangladesh.
Kenyataan itu turut berkata, juadah berbuka juga akan diberikan kepada anak yatim di Syria dan ibu kota Somalia, Mogadishu sepanjang bulan suci itu.
Ozil yang mempunyai darah keturunan Turki itu juga pernah dilaporkan membayar kos pembiayaan 1,000 kanak-kanak dan menyediakan makanan kepada 100,000 gelandangan.
Kelakuannya yang sering menadah tangan untuk berdoa sebelum memasuki padang turut disenangi oleh umat Islam di seluruh dunia.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... -kaya-saham-akhirat |
|