Seorang lelaki meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala selepas motosikal ditungganginya terbabas lalu melanggar tiang elektrik.
Utusan melaporkan, kemalangan membabitkan motosikal dan sebuah kereta itu berlaku di Kampung Bendang, Mukim Jeneri, kira-kira pukul 2 petang, semalam.
 MANGSA meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dalam kemalangan di Kampung Bendang, Mukim Jeneri di Sik.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, mangsa, Mohamad Amir Abdul Rani, 22, yang berasal dari Kampung Betong, di sini disahkan maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.
“Mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Y125ZR menghala balik ke rumahnya dan pada masa sama terdapat sebuah kereta jenis Proton Exora dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun di belakang motosikal mangsa.
“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa memberikan isyarat untuk membelok ke kanan namun tiba-tiba kereta terbabit yang cuba mengelak, terlanggar motosikal itu menyebabkan pemuda berkenaan hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelum terlanggar sebatang tiang elektrik,” katanya ketika dihubungi.
Abdull Razak berkata, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sik untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: UTUSAN |