Pengawal keselamatan wanita di Hospital Raja Permasuri Bainun yang menerima ucapan penghargaan daripada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa tidak menyangka usahanya memudahkan pesakit dan pelawat mendapat perhatian masyarakat sehingga kepada menteri sendiri.
Kata R Yogeswary, 44, dia sangat seronok memudahkan pesakit dan menganggap penghargaan itu sebagai satu pengiktirafan besar sejak lebih empat tahun berkhidmat di hospital berkenaan.
"Ini pertama kali dapat pujian dari menteri. Selepas berkhidmat di hospital ini saya dapat banyak penghargaan daripada syarikat saya, unit keselamatan saya dan daripada hospital. Saya rasa terharu dan ucap terima kasih kepada warga Perak yang berikan komen baik-baik. Saya akan berusaha untuk mempermudahkan lagi urusan pesakit dekat sini.
"Kompleks ini untuk orang bersalin jadi saya seorang wanita faham, selain itu warga emas juga susah nak parkir. Kebanyakan orang awam perlukan bantuan hanya untuk satu parkir sahaja. Saya cuma mudahkan mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi HRPB pada Khamis.
Yogeswary berkata, apa yang dilakukannya itu bukanlah bertujuan mendapatkan pujian sebaliknya memudahkan pesakit mendapatkan perkhidmatan di kompleks berkenaan.
 Tindakan Yogeswary membantu pesakit dan pelawat yang hadir ke kompleks berkenaan mendapatkan parkir mendapat pujian - Foto: Sinar Harian
Dia turut berterima kasih kepada majikannya serta pihak pengurusan hospital yang memberi kepercayaan kepadanya melaksanakan tugas tersebut.
Kisah mengenai Yogeswary itu tular di media sosial sehingga mendapat perhatian Dr Zaliha yang memuji tindakan wanita itu membantu pesakit dan memberikan penghargaan menerusi hantaran di facebook menteri berkenaan.
Sumber: Sinar Harian |