|
Ketua jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti meraikan kejayaan pasukannya ke suku akhir selepas menundukkan Liverpool di Madrid, Sepanyol. - EPA
MADRID: Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti berkata pasukannya penuh yakin selepas mara ke suku akhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi.
Kelab dengan rekod 14 gelaran Eropah itu menewaskan Liverpool 1-0 di Santiago Bernabeu, 6-2 menerusi agregat untuk mara ke kelompok lapan terakhir.
Madrid menyasarkan untuk menang Liga Juara-Juara buat kali keenam dalam 10 musim dan Ancelotti percaya pasukannya yang menampilkan aksi hebat musim lalu untuk meraih gelaran beroleh keyakinan tambahan.
Los Blancos mencipta kebangkitan menakjubkan berdepan Paris Saint-Germain, Chelsea dan Manchester City sebelum menewaskan Liverpool di final.
Pada aksi pertama kelompok 16 terakhir berdepan skuad kendalian Jurgen Klopp, Madrid ketinggalan dua gol sebelum menang 5-2.
"Kami kini lebih yakin, kerana apa yang berlaku tahun lalu, ia memberikan kami banyak keyakinan tambahan," kata Ancelotti.
"Kita melihatnya dalam perlawanan ini, menentang pasukan yang kuat, kami beraksi baik dalam dua perlawanan.
"Tapi akhirnya, dengan hanya keyakinan, kami tidak boleh ke suku akhir. Kami perlu bermain bola sepak yang mengejutkan... seperti biasa, Liga Juara-Juara sangat rumit dan kami perlu bertarung hingga penghujung."
Jurulatih itu memuji gabungan pemain muda dan berpengalaman skuadnya dengan pemain tengah veteran, Luka Modric dan Toni Kroos bergabung dengan bintang muda, Eduardo Camavinga yang beraksi baik menentang Liverpool.
Klopp turut memuji mentaliti ditunjukkan Real Madrid dalam kejohanan utama Eropah.
"Mereka berjaya melaluinya dengan cara terbaik, dan kami akan melihat sama ada kami boleh melakukanhya sekali lagi tahun ini," kata pengendali Liverpool itu.
"Malangnya kami perlu melihat aksi besar ini dari jauh.
"Secara jujur saya tidak tahu siapa akan menang. Ia sesuatu yang seronok untuk dilihat." - AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... di-liga-juara-juara |
|