LAZIO julang Piala Super Itali di Riyadh pada 2019. FOTO Reuters
Milan: Piala Super Itali akan dilangsungkan mengikut format empat pasukan musim depan dan diadakan di Arab Saudi sebanyak empat kali dalam tempoh enam tahun akan datang.
Liga utama Itali itu memberitahu AFP selepas mesyuarat bahawa mereka akan memutuskan sama ada mengekalkan format empat pasukan untuk lima musim berikutnya di kemudian hari.
Dua saingan Piala Super Itali akan diadakan di Arab Saudi, manakala untuk dua musim berikutnya di tempat lain sebelum kembali semula ke negara Arab itu bagi dua tahun terakhir.
Serie A tidak memaklumkan di mana mereka akan mengadakan dua lagi edisi yang tidak dijalankan di Arab Saudi.
Saingan bagi musim depan akan diadakan pada Januari 2024.
Aksi Piala Super Itali setakat ini membabitkan juara Serie A dan juara Piala Itali, di mana edisi tahun ini Inter Milan berjaya menumpaskan AC Milan di Riyadh Januari lalu.
Bagi musim depan dua pasukan teratas Serie A dan juara serta naib juara Piala Itali akan berentap sama seperti yang dilakukan di Piala Super Sepanyol.