|
REAKSI kecewa Salah selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti. FOTO AFP
Bournemouth: Jurgen Klopp mengakui sasaran Liverpool untuk menghuni empat teratas liga menerima tamparan hebat selepas Mohamed Salah terlepas sepakan penalti ketika kekalahan mengejut 0-1 di Bournemouth, semalam.
Skuad kendalian Klopp bertandang ke Dean Court dengan penuh semangat selepas membelasah musuh ketat mereka, Manchester United 7-0, hujung minggu lalu.
Tetapi harapan Liverpool menggunakan keputusan yang luar biasa itu sebagai batu loncatan untuk menduduki kelompok empat teratas dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), berkecai.
Philip Billing menghukum pertahanan Liverpool untuk meletakkan tuan rumah yang bergelut dengan prestasi di hadapan namun Salah melepaskan peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa kedua.
Salah muncul penjaring gol terbanyak Liverpool dalam era Liga Perdana selepas menjaringkan dua gol ketika menentang United.
Tetapi kegagalan bintang Mesir itu menambah koleksi kepada 130 gol menyebabkan Liverpool mengalami kekalahan pertama dalam enam perlawanan liga terakhir mereka.
"Terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan tetapi hari ini (semalam) bukan masa untuk bercakap mengenainya.
"Aksi ini memberi tamparan hebat. Anda tahu situasinya. Anda perlu menerimanya dan cuba bangkit selepas itu.
"Kami mendapat penalti tetapi gagal menyempurnakannya. Jika kami menjaringkan gol ketika itu, ia akan meningkatkan kembali semangat pemain tetapi kami gagal melakukannya. Ia sangat mengecewakan," kata Klopp.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... lah-kecewakan-klopp |
|
|
|
|
|
|
| |
|