Rumah penginapan atas air terbakar
PADAM: Pasukan Bomba menjalankan operasi memadam kebakaran di lokasi kejadian.
SEMPORNA: Sebuah rumah penginapan atas air serta rumah pam musnah dalam kebakaran di sebuah pusat peranginan di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata kejadian berlaku pada jam 7.05 malam.
“Bertindak dengan kejadian, sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air dengan bantuan BBP Semporna digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.
“Operasi dijalankan menggunakan dua aliran pam angkut dan sumber air terbuka daripada laut dan kebakaran dapat dikawal jam 9.30 malam,” katanya.
Beliau berkata kejadian memusnahkan bagunan jenis tidak kekal iaitu rumah pam seluas 20X30 kaki persegi dan rumah penginapan seluas 30X40 kaki persegi.
“Tiada mangsa terlibat dalam kejadian ini dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
https://www.utusanborneo.com.my/2023/03/09/rumah-penginapan-atas-air-terbakar
|