CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1406|Reply: 0

[Sarawak] Cabaran kenaikan harga barang keperluan sekolah meresahkan ibu bapa

[Copy link]
Post time 10-3-2023 10:27 PM | Show all posts |Read mode
KUCHING: Dengan tahun persekolahan baharu yang akan bermula tidak lama lagi, ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah berdepan cabaran kenaikan kos secara amnya, selain barangan keperluan sekolah yang turut meningkat harganya.



Pegawai tadbir, Patrina Alexious (gambar), 34, berkata, ibu bapa yang mempunyai anak yang memulakan tahun pertama persekolahan berkemungkinan golongan yang paling terkesan kerana segala-galanya perlu dibeli dari awal.

Ibu kepada seorang anak perempuan berusia tujuh tahun dan anak lelaki berusia 11 tahun berkata, antara perbelanjaan untuk anak-anaknya ialah pakaian seragam, beg, alat tulis dan buku kerja sekolah.

"Memandangkan anak perempuan saya memasuki Darjah Satu tahun ini, saya perlu membeli segala-galanya yang baharu untuknya.

"Sesetengah ibu bapa mempraktikkan 'hand-me-down' daripada anak-anak mereka yang lebih besar kepada yang lebih muda, tetapi saya tidak boleh melakukannya dengan anak perempuan dan anak lelaki saya.

"Jadi saya berasa lebih terkesan tahun ini.

"Mereka berkongsi barangan alat tulis seperti pensel dan kertas, yang biasanya saya beli banyak sekali dalam satu masa dan ia boleh bertahan dua hingga tiga tahun.

"Beg sekolah mereka sahaja berharga lebih RM80 setiap satu.

"Saya terpaksa membeli yang baru untuk anak saya kerana yang lama rosak.

"Dia telah menggunakannya sejak sekolah rendah.

"Mungkin ada yang berkata mengapa tidak dapatkan yang lebih murah tetapi ia mungkin tidak bertahan lama dan ia juga memerlukan wang untuk terus menukar beg," katanya.

Patrina berkata, memandangkan makanan di luar semakin mahal dia akan berusaha untuk membekalkan makanan dari rumah untuk anak-anaknya.



Sementara itu penyelia kilang, Azhlan Wan Hafiz (gambar), 45, berkata, keluarganya telah merasai tekanan sejak penularan wabak COVID-19 apabila dia diberhentikan kerja sebagai juruteknik IT, manakala isterinya masih bekerja sebagai kerani pejabat di sebuah kedai runcit.

Bapa kepada tiga anak lelaki berusia antara sembilan hingga 14 tahun itu berkongsi sepanjang tempoh menganggur, dia membuat penghantaran makanan untuk menambah pendapatan isi rumah dan baru sahaja mendapat pekerjaan yang terkini pada Ogos lalu.

"Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah masa kami benar-benar bergelut, terutamanya apabila anak sulung kami baru memasuki sekolah menengah dan yang bongsu baru memasuki sekolah rendah.

"Semuanya perlu dalam talian, dan kami terpaksa membeli gajet baharu untuk mereka gunakan sekolah," katanya.

Bagi tahun persekolahan akan datang Azhlan berkata, mereka sekeluarga sudah cukup bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran kewangan tetapi berharap lebih banyak bantuan disediakan oleh kerajaan.

"Saya terbaca dalam berita bahawa kerajaan mungkin memperkenalkan inisiatif Rahmah untuk bekalan sekolah tahun depan.

"Saya rasa itu sangat baik untuk kita, jadi saya harap ia akan direalisasikan.

"Semua ini adalah perbelanjaan yang kita semua tidak boleh elak, tetapi sesetengah ibu bapa akan lebih teruk daripada yang lain.

"Ia sebahagian daripada pengorbanan kami untuk anak-anak," katanya.



Bagi Chen Siew Oi (gambar), 51, tahun ini merupakan tahun terakhir anaknya menjalani persekolahan memandangkan anaknya yang berusia 17 tahun itu akan tamat pendidikan menengah.

Namun katanya, ia masih belum berakhir untuk dirinya dari segi kewangan bagi pendidikan kerana kemungkinan anaknya melanjutkan pengajian tinggi.

"Tahun depan saya perlu bimbang tentang pendidikan tingginya, yang mungkin memerlukan kos lebih tinggi daripada gabungan pendidikan 12 tahun lepas," katanya.

Bagi Chen yang merupakan seorang balu, perbelanjaan terbesar untuk anaknya tahun ini adalah untuk persediaan menghadapi peperiksaan SPM.

"Semasa suami saya masih hidup, sejujurnya kami tidak terlalu merasai tekanan itu.

"Mungkin kerana kami mempunyai dua pendapatan dan kos barang tidak meningkat dengan begitu drastik.

"Sekarang saya merasakan tekanan kewangan bukan daripada keperluan sekolah anak saya tetapi lebih banyak daripada harga runcit kami yang benar-benar telah meningkat begitu banyak dalam dua tahun kebelakangan ini," katanya.

Takwim akademik bagi sesi persekolahan 2023/2024 akan berlangsung dari 20 Mac 2023 hingga 10 Mac 2024.





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 07:05 PM GMT+8 , Processed in 0.084473 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list