|
Pengendali baharu skuad bola sepak Korea Selatan, Jurgen Klinsmann tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon. - Foto AFP
SEOUL: Pengendali baharu Korea Selatan, Jurgen Klinsmann tiba di negara itu hari ini, dan berkata sasarannya ialah memenangi Piala Asia bersama pasukan.
Bekas pengendali Jerman, Bayern Munich dan Amerika Syarikat itu menggantikan Paulo Bento, yang membawa skuad bola sepak Korea Selatan ke pusingan kalah mati Piala Dunia di Qatar, sebelum tewas 4-1 di tangan Brazil.
"Saya rasa sasarannya sudah pasti untuk memenangi Piala Asia. Menang, itulah matlamatnya. Anda buktikan di Qatar yang anda mampu tewaskan negara besar.
"Anda tewaskan Portugal di Qatar dan empat tahun lalu anda kalahkan Jerman, jadi anda mampu lakukannya dengan baik dan itulah matlamat kami," kata Klinsmann.
Klinsmann mempunyai karier gemilang sebagai penyerang ketika mewakili Inter Milan, Tottenham dan Bayern Munich, namun rekodnya sebagai jurulatih dipersoalkan peminat Korea Selatan.
Dia membimbing Jerman pada tahun 2004 dan membawa mereka menduduki tempat ketiga di Piala Dunia 2006 di laman sendiri, tewas kepada juara edisi berkenaan, Itali di separuh akhir.
Pada tahun 2011, dia dilantik sebagai pengendali Amerika Syarikat tetapi dipecat pada tahun 2016 selepas dua kekalahan di peringkat kelayakan Piala Dunia.
Klinsmann, yang menandatangani kontrak tiga tahun setengah bersama Persatuan Bolasepak Korea, berkata dia tidak sabar untuk memulakan tugas bersama skuad Korea Selatan.
"Saya tidak sabar untuk belajar sesuatu di sini dan saya harap pasukan juga dapat mempelajari sesuatu daripada saya dan kumpulan saya," katanya.
Ujian pertama Klinsmann adalah perlawanan persahabatan menentang Colombia pada 24 Mac nanti. - AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... rsama-korea-selatan |
|