|
SALAH meraikan jaringan keenam untuk Liverpool. FOTO AP
Liverpool: Penyerang Liverpool, Mohamed Salah meraikan apa yang disifatkannya sebagai 'antara hari terbaik saya' selepas menjaringkan dua gol ketika membelasah musuh ketat, Manchester United 7-0, awal pagi tadi sekali gus muncul penjaring terbanyak kelab Merseyside itu di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Salah meraih rekod individu dengan meledak gol keempat serta keenam untuk Liverpool pada separuh masa kedua di Anfield dan menanggalkan bajunya untuk meraikan kemenangan terbesar kelabnya ke atas United.
Salah, yang menjaringkan gol untuk perlawanan keenam berturut-turut menentang United dalam semua pertandingan, meledak 129 gol untuk Liverpool dalam Liga Perdana untuk mengatasi rekod terdahulu milik Robbie Fowler, yang mengucapkan tahniah kepada pemain Mesir itu di twitter.
"Saya tidak dapat menggambarkannya. Ia adalah salah satu daripada hari terbaik saya dan memecahkan rekod yang saya cari sejak tiba ke kelab ini.
"Kami beraksi hari ini dengan sasaran untuk menang. Setiap pemain teruja untuk menjaringkan gol dan kami meledak tujuh gol. Saya harap kemenangan ini akan meningkatkan semangat kami.
"Kami boleh terus meraih kemenangan ini sehingga akhir musim dan berada di kedudukan empat terbaik liga," kata Salah kepada beIN Sports.
Kemenangan keempat Liverpool dalam lima perlawanan liga menyaksikan mereka mengatasi Newcastle United untuk menduduki tempat kelima dengan 42 mata, kurang tiga di belakang Tottenham Hotspur di tangga keempat.
"Saya rasa kami berjaya memanfaatkan semua peluang dan penyudah sangat hebat daripada semua pemain," kata Salah yang menjaringkan gol pertama Liverpool pada 2017.
Selain dua gol Salah, Cody Gakpo dan Darwin Nunez masing-masing menjaringkan dua gol sebelum Roberto Firmino yang masuk dari bangku simpanan melengkapkan kemenangan sempurna Liverpool.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... -belasah-man-united |
|