View: 1036|Reply: 0
|
[Dunia]
9.5 juta penduduk Brazil berisiko berdepan banjir, tanah runtuh
[Copy link]
|
|
9.5 juta penduduk Brazil berisiko berdepan banjir, tanah runtuh
Antara kawasan di bandar Sao Sebastiao yang teruk dilanda banjir lumpur dan tanah runtuh yang setakat ini sudah mengorbankan 40 orang. - Foto EPA
SAO SEBASTIAO: Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva menyatakan kerajaan akan membantu usaha pembinaan semula rumah bagi mangsa banjir dan tanah runtuh di kawasan berisiko .
Katanya, kerajaan juga akan mengeluarkan rayuan menghentikan pembinaan di kawasan rendah serta lereng bukit yang terdedah kepada bencana banjir yang kerap berlaku di negara itu.
"Penduduk perlu lebih berhati-hati untuk tidak membina rumah di kawasan kerap bencana seperti hujan dan tanah runtuh yang kini meragut banyak nyawa," katanya ketika melakukan tinjauan di kawasan bencana banjir dan tanah runtuh.
Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh dan berpuluh lagi masih hilang ketika bencana itu berlaku semasa sambutan karnival terkenal di negara itu diadakan.
Pekerja penyelamat berusaha mencari mangsa yang terselamat tertimbus di bawah lumpur dan runtuhan selepas 24 jam hujan direkodkan pada hujung minggu hingga mencetuskan banjir ganas dan tanah runtuh yang memusnahkan kawasan sekitar bandar pantai popular Sao Sebastiao, sekitar 200 kilometer tenggara Sao Paulo.
Pihak berkuasa berkata, hujan sebanyak 600 milimeter (hampir 24 inci) direkodkan di Sao Sebastiao dalam tempoh 24 jam iaitu lebih dua kali ganda daripada jumlah biasa sepanjang bulan Februari.
Susulan itu, lebih 1,700 orang sudah dipindahkan, manakala 766 kehilangan tempat tinggal.
Sementara itu, Gabenor Tarcisio de Freitas, yang bertemu dengan Lula di tempat kejadian, mengisytiharkan keadaan kecemasan di lima bandar di sepanjang pantai dan mengeluarkan bersamaan AS$1.5 juta (RM6.65 juta) untuk operasi menyelamat.
Institut cuaca negara mengeluarkan amaran untuk lebih banyak hujan lebat di wilayah itu hari ini.
Brazil dilanda beberapa siri bencana berkaitan cuaca dalam beberapa tahun kebelakangan ini yang mana menurut pakar, ia berkemungkinan bertambah buruk oleh perubahan iklim.
Tragedi terbaru itu berlaku hampir genap setahun selepas hujan lebat dan tanah runtuh di bandar tenggara Petropolis mengorbankan lebih 230 orang.
Dianggarkan 9.5 juta daripada 215 juta penduduk Brazil tinggal di kawasan berisiko tinggi banjir atau tanah runtuh. - AFP
Sumber:https://www.bharian.com.my/dunia ... banjir-tanah-runtuh
|
|
|
|
|
|
|
| |
|