CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 431|Reply: 0

Beri kefahaman jelas wacana ketuhanan

[Copy link]
Post time 17-2-2023 03:53 PM | Show all posts |Read mode
Beri kefahaman jelas wacana ketuhanan


BUKU Allah Menurut Al-Ghazali.



Penerbit Universiti Malaya (UM) menerbitkan sebuah buku yang berjudul Allah Menurut Al-Ghazali pada 2021. Buku ini berjaya menerima Anugerah Pengajian Tinggi: Buku Islamik Terbaik dalam majlis Anugerah Buku Negara (National Book Award 2022). Ia sempena Persidangan Buku Antarabangsa 2022, Ekspo Buku Malaysia serta Anugerah Buku Negara dan Forum Kelab Penulis pada 22-25 Ogos tahun lalu anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Buku ini juga dicalonkan oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi Anugerah Akademik Negara (AAN) Ke-15 untuk Kategori Anugerah Penerbitan Buku anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Buku ini membahaskan wacana ketuhanan al-Quran dan al-Hadis sebagaimana yang diikuti oleh umat Islam pada zaman Rasulullah SAW, zaman sahabat dan ulama salaf.  Ia disusuli dengan perbahasan mengenai manhaj al-Asha'irah, dalam wacana terbabit yang meneruskan usaha memberi kefahaman kepada umat Islam sepanjang zaman terhadap prinsip-prinsip akidah ketuhanan yang perlu disabitkan kebenarannya dan ditolak aliran yang menyeleweng daripadanya. Penonjolan pemikiran mazhab ini adalah perlu kerana manhaj majoriti atau aliran arus perdana umat Islam (al-sawad al-a'zam) sudah dipertahankan oleh tokoh penghujah umat Islam terkenal, al-Imam al-Ghazali.

Beliau adalah tokoh ulama kalam daripada al-Asha'irah yang mengetengahkan manhaj akidah sederhana (iqtisad) atau pertengahan (wasati) dalam wacana akidah, khususnya dalam tradisi ilmu kalam. Manhaj ini menggabungjalinkan antara pendekatan nakliah dengan akliah secara harmoni dalam wacana akidah ketuhanan. Dijelaskan juga batasan wacana ilmu kalam dalam pengajian akidah dan tahap kewajaran pendedahannya kepada masyarakat awam.

Buku ini turut memfokuskan perbahasan zat, sifat-sifat, perbuatan dan nama-nama bagi Allah SWT berdasarkan pandangan al-Ghazali di samping ulama muktabar yang lain. Ia berkaitan rapat dengan tuntutan penting dalam kalimah tauhid iaitu  la ilah illa Allah  yang merupakan salah satu rukun penting dalam Rukun Islam dan Rukun Iman berdasarkan pandangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.

Selain itu, antara kelainan yang ada dalam buku ini adalah dijelaskan pengaruh pemikiran akidah dan akhlak yang merupakan kesan daripada penghayatan terhadap prinsip-prinsip keimanan menurut huraian al-Ghazali kepada ulama Melayu seperti yang dapat diperhatikan dalam karya mereka seperti kitab  al-Durr al-Nafis karangan Muhammad Nafis ibn Idris al-Banjari,  Sayr al-Salikin  dan  Hidayah al-Salikin karangan `Abd al-Samad al-Falimbani,  Minhaj al-'Abidin karangan berupa terjemahan oleh Dawud al-Fatani dan  Thamarat al-Muhimmah karangan Raja 'Ali Haji. Perkara ini kurang didedahkan kepada masyarakat, justeru buku ini berperanan secara signifikan berkaitan perkara ini.

Buku ini sesuai untuk tatapan dan rujukan pihak pemerintah (ulil amri), ilmuwan dan cendekiawan, pengkaji, guru, pelajar dan masyarakat awam yang berminat untuk mengkaji wacana ketuhanan yang boleh mencerahkan kefahaman mereka terhadap Allah SWT menurut huraian al-Ghazali. Justeru, buku ini wajar dijadikan rujukan khususnya bagi membantu kefahaman seseorang terhadap wacana ketuhanan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah aliran al-Asha'irah yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di Malaysia khususnya dan rantau Nusantara umumnya.

Ia selari dengan penegasan berterusan dalam kalangan ulama dan ahli akademik peringkat antarabangsa dan tempatan berkaitan aliran perdana umat Islam ini. Contohnya, pada 25 hingga 27 Ogos 2016, sudah diadakan Muktamar Ahli Sunah Waljamaah peringkat antarabangsa di Grozny Cechnya yang turut dihadiri Sheikh al-Azhar Prof Dr Ahmad al-Tayyib. Antara resolusi seminar terbabit ialah berkenaan penegasan definisi Ahli Sunah Waljamaah. Resolusi seminar memutuskan bahawa Ahli Sunah Waljamaah berkaitan akidah adalah golongan al-Asha'irah, al-Maturidiyyah dan Ahli Hadis al-Mufawwidah.

Selain itu, Seminar Akidah dan Pemikiran Islam Peringkat Antarabangsa 2021 (SAPIA 2021) bertemakan Akidah Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) Melestarikan Keharmonian Masyarakat dianjurkan Pusat Pengajian Usuluddin Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu dengan kerjasama Universitas Islam Negeri Kiyai Haji Achmad Siddiq (UIN KHAS), Jember Indonesia dan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan. Antara resolusi seminar itu adalah penegasan bahawa akidah Ahli Sunah Waljamaah merupakan pegangan majoriti umat Islam berdasarkan manhaj al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah.

Perkara ini ditegaskan lagi menerusi resolusi Seminar Ahli Sunah Waljamaah: Manhaj Akidah Majoriti Ahli Hadis yang dianjurkan pada 4 Jun tahun lalu oleh Persatuan Mahasiswa Usuluddin (PMUS) Universiti Sultan Zainal Abidin, antaranya:

a)         Penegasan bahawa keseluruhan ulama bermazhab Shafie, Maliki dan Hanafi mengikuti akidah al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah melainkan sebilangan kecil yang terpengaruh dengan akidah Muktazilah atau Hashwiyyah (Mujassimah) manakala ulama bermazhab Hanbali terbahagi kepada dua iaitu kumpulan yang akidah mereka menepati jumhur dan kumpulan yang membawa akidah Hashwiyyah.

b)         Penegasan bahawa majoriti ulama Melayu mewarisi turath Ahli Sunah Waljamaah menerusi mazhab akidah al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah di samping meraikan aliran ahli hadis Mufawwidah serta mazhab fekah Shafie di samping meraikan mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.

c)         Penegasan di samping Asya'irah dan Maturidiyyah, bahawa golongan Athariyyah (iaitu ahli hadis atau Hanabilah Mufawwidah) turut diterima dalam lingkungan Ahli Sunah Waljamaah kerana kejelasan metodologi mereka dalam memahami nas-nas mutashabihat. Manakala ahli hadis yang tidak berpegang dengan salah satu daripada tiga aliran ini tidak dianggap sebagai mengikut fahaman Ahli Sunah Waljamaah seperti golongan Mujassimah, Mushabbihah, Hanabilah Hashawiyyah dan Salafi Jihadi.

Semoga buku 'Allah Menurut Al-Ghazali' ini dapat memberi kefahaman dalam kalangan masyarakat mengenai akidah Ahli Sunah Waljamaah yang sebenar selari dengan pandangan majoriti ulama dan cendekiawan Islam di seluruh pelosok dunia termasuk Malaysia.

Buku ini juga menerima Anugerah Pengajian Tinggi: Buku Islamik Terbaik dalam majlis Anugerah Buku Negara (National Book Award 2022) sempena Persidangan Buku Antarabangsa 2022, Ekspo Buku Malaysia serta Anugerah Buku Negara dan Forum Kelab Penulis pada 22 hingga 25 Ogos tahun lalu anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Penulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)


Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... as-wacana-ketuhanan

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 02:55 AM GMT+8 , Processed in 0.052447 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list