View: 316|Reply: 0
|
Konsert Raihan Ketengah Elemen Rock, Amy Search Muncul Sebagai Penyanyi Undangan
[Copy link]
|
|
Raihan bakal menggegarkan Stadium Malawati, Shah Alam menerusi konsert berskala besar iaitu Garis Masa Raihan pada 18 Februari ini bersempena 27 tahun penubuhan kumpulan berkenaan.
Salah seorang anggotanya, Che Amran Idris atau lebih mesra dengan panggilan Che Am memberitahu konsert itu bakal mengembalikan nostalgia buat penggemar kumpulan tersebut yang membesar dengan lagu-lagu Raihan.
Lebih istimewa lagi apabila konsert ini menjadi acara kemuncak dalam festival Cahaya Israk Mikraj yang dianjurkan bersempena memperingati perjalanan Rasulullah SAW.
 Foto: IG
“Kami bersyukur dan terharu kerana selepas 27 tahun, kami berpeluang sekali lagi berkongsi ekspresi muzik dengan peminat menerusi sebuah konsert berskala besar.
“Insya Allah, penonton akan menyaksikan bentuk persembahan yang sering kami bawakan di luar negara. Pentas, muzik, konsep, instrumen dan vokal yang akan ditonton malam esok lebih matang dan berlainan,” katanya.
Bukan itu sahaja, Che Am yang mewakili kumpulan Raihan turut menjanjikan satu kelainan pada konsert Garis Masa Raihan itu nanti.
“Kami mahu kikis stereotaip dan kebiasaan dengan menyuntik pelbagai elemen muzik, seperti rock, pop, acapella dan tradisional dalam lagu-lagu kami yang akan dipersembahkan nanti.
“Kami ingin raikan genre berlainan kerana tidak mahu Raihan terperangkap dalam persepsi yang sama," katanya lagi.
Tambah Che Am, ketika ini mereka sedang sibuk melakukan persiapan akhir sebelum tiba malam yang ditunggu-tunggu itu.
Berkongsi lebih lanjut, Che Am memberitahu bahawa jualan tiket amat menggalakkan malah peminat dari Indonesia dan Singapura juga bakal turut serta ke konsert berkenaan.
“Alhamdulillah, tiket sudah terjual lebih 90 peratus. Kepada yang berminat masih boleh membuat pembelian di www.ticket2u.com.my.
“Saya difahamkan peminat dari Singapura dan Indonesia juga akan hadir ke konsert ini nanti. Saya dan seluruh anggota Raihan tidak sabar bertemu mereka,” kongsinya.
Pada malam itu nanti, Raihan bakal mendendangkan 21 buah lagu dan ada diantaranya akan disampaikan secara medley bagi memenuhi permintaan peminat.
Konsert ini turut menjemput Amy Search serta beberapa tokoh Islam seperti Habib Ali Zainal Abidin, Habib Jamal Toha Ba’agil, Sidi Abu Anas Abu Jaish menerusi slot khas. -CARI
Sumber: mStar Online |
|
|
|
|
|
|
| |
|