|
Pelakon Datin Natasha Charmaine yang bertindak ‘membuang’ semua pengikut akaun Instagramnya seramai 30,000 orang memberitahu, alasannya berbuat demikian kerana ingin muncul dengan imej yang segar dan sopan.
Kata Natasha, 31, tindakan tersebut diibaratkan sebagai penjenamaan semula dirinya untuk menjadi individu yang lebih baik.
Foto: Kosmo
“Saya buang semua 30,000 pengikut Instagram sebab mahu bermula semula dengan imej lebih segar dan sopan.
“Selepas buang pengikut, saya ambil keputusan untuk lebih menapis foto yang dikongsi dalam media sosial. Insya-Allah semuanya lebih sopan mengikut status saya sekarang (berkahwin),” kata anak kelahiran Kuching, Sarawak itu baru-baru ini.
Natasha juga berkata, pada masa sama apa yang dilakukannya adalah untuk menjaga statusnya sebagai seorang isteri dan imej suaminya.
“Saya pun perlu jaga nama suami terutamanya. Saya juga berlakon dalam filem Imam yang mengetengahkan isu agama dan memerlukan saya berpakaian sopan termasuk bertudung.
“Apabila difikirkan semula, bukan semua perkara perlu dikongsi dalam media sosial.
“Bukan nak tunjuk saya sudah berubah sepenuhnya tetapi semuanya berlaku secara perlahan-lahan,” ujarnya.
Katanya, media sosial juga boleh menyebabkan penggunanya mengalami tekanan dan kegelisahan melampau susulan komen netizen yang kadang-kadang dianggap keterlaluan.
“Seboleh-bolehnya, saya cuba mengelak daripada dikecam orang ramai dan akan memilih kandungan lebih baik untuk dikongsi kepada umum.
“Sebab tak mahu juga jika satu hari nanti saya lakukan khilaf, orang akan terus kecam dan libatkan isu-isu lain,” ujarnya lagi.
Bercakap tentang perkembangan terbaharu, Natasha bakal muncul menerusi filem Imam arahan Mior Hashim Manap pada 2 Mac depan yang turut membariskan nama-nama besar lain seperti Datuk M. Nasir, Faizal Hussein dan Vanidah Imran. – CARI
Sumber: Kosmo
|
|