|
Biarpun timbul kontroversi melibatkan teraju utama, Sophia Albarakbah dan Aliff Aziz, pengarah Osman Ali berharap penonton tetap memberi sokongan terhadap drama tersebut.
Utusan Malaysia melaporkan, pengarah Ku Akad Kau Dengan Bismillah itu khuatir cerita sensasi membabitkan dua pelakon itu menjejaskan minat penonton untuk mengikuti drama yang ditayangkan di TV3 itu.
Utusan
“Saya harap tontonan tidak terjejas disebabkan cerita kontroversi mereka. Saya bimbang, ada juga yang marah dan menolak untuk menonton drama berkenaan kerana kecewa dengan situasi yang berlaku.
“Setakat ini, saya lega, meskipun ada netizen yang marah dan mengecam pelakon tersebut, jumlah tontonan terhadap posting dan treler di media sosial masih menggalakkan.
“Apapun, saya anggap ini sebagai asam garam industri. Mahu atau tidak, kena terima,” katanya.
Osman pada masa sama mengulangi ketegasannya menolak andaian sengaja mencetus kontroversi tersebut sebagai taktik penerbit dan stesen televisyen melariskan drama berkenaan.
“Ini bukan promosi drama. Ia kerja gila kalau kontroversi itu digunakan untuk melariskan drama kerana secara tidak langsung akan menjejaskan emosi kedua-dua pelakon tersebut.
“Pihak kami khuatir dan telah berbincang dengan TV3 untuk mencari langkah menyelesaikan isu terbabit kerana tidak mahu ia mengganggu proses penggambaran.
“Kalau ada yang tuduh kami menggunakan situasi itu untuk melonjakkan rating tontonan, mereka kejam,” ujarnya.
Bagaimanapun, selaku pengarah, dia dianggap tidak adil sekiranya melepaskan tanggungjawab dan membiarkan situasi yang berlaku menjejaskan emosi Sophia dan Aliff.
Justeru, dia memberi mereka motivasi kerana Aliff dan Sophia tertekan dengan apa yang berlaku.
Apatah lagi kedua-dua mereka profesional, berkelakuan baik dan memberi kerjasama penuh ketika bekerja.
Tambahnya, Sophia seorang yang baik, berbudi bahasa dan beradab. - CARI |
|