Seorang peguam gagal mengeluarkan pistol miliknya sebelum masuk ke bilik pengimejan resonans magnetik (MRI) di sebuah hospital di Brazil, maut selepas secara tidak sengaja terkena tembakan senjata api itu.
Portal Independent dipetik Harian Metro melaporkan ketika kejadian, Leandro Mathias de Novaes, 40, membawa ibunya untuk imbasan di Laboratorio Cura di sini, lapor Jam Press.
 LEANDRO Mathias de Novaes.
Dia diarahkan untuk mengeluarkan semua objek logam sebelum memasuki bilik imbasan bagaimanapun gagal memberitahu pekerja hospital bahawa dia mempunyai pistol.
Justeru, medan magnet daripada pengimbas MRI menarik senjata milik peguam itu dari pinggangnya dan secara tidak sengaja tembakan dilepaskan dan terkena perutnya.
Difahamkan, peguam itu juga bekerja sebagai pencipta kandungan prosenjata api yang mempunyai 12,000 pengikut di TikTok dan Instagram.
Jurucakap Laboratorio Cura berkata, pihaknya ingin menekankan bahawa semua protokol pencegahan kemalangan dipatuhi oleh pasukan Cura, seperti kebiasaan di semua unit.
Makmal itu juga menyatakan bahawa kedua-dua Leandro dan ibunya menandatangani borang mengenai protokol itu, tetapi mangsa didakwa gagal memaklumkan kewujudan senjata api miliknya sebelum memasuki bilik pemeriksaan dengan keputusannya sendiri.
Polis mengesahkan peguam berkenaan mempunyai lesen senjata api yang sah dan senjata itu didaftarkan. - CARI |