Pengarah drama terkenal, Michael Ang atau nama sebenarnya Michael Ang Hai Swee, 46, meluahkan perasaan berhubung isu segelintir selebriti terpalit dengan spekulasi hangat iaitu ‘sondol’ dan ‘bercinta di lokasi’ set penggambaran.
Dalam satu posting di Instagramnya, Michael berkata, barisan pelakon lelaki atau perempuan perlu menandatangani kontrak untuk tidak bercinta di set penggambaran.
Jelas Michael, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan situasi tidak diingini seperti kes artis bercinta atau memasang niat mahu berlaku curang dengan pasangan sedia ada di set penggambarannya.
“Baiklah, mulai hari ini, sesiapa pelakon lelaki atau perempuan dalam set penggambaran aku perlu menandatangani kontrak tidak akan bercinta di set!” ujarnya
Menurut Michael, keputusan itu juga dibuat berikutan sudah penat melayan media yang tidak henti-henti menelefonnya yang meminta untuk memberikan kenyataan.
“Stres aku nak melayan reporter tercall-call! Lepas tu cakap nak buat marketing la apa la.Yang bercinta, berskandal tu mereka (artis) bukan aku! Stres aku, shut down sajalah hari ini!” tegas Michael.
Tegasnya lagi, pihak produksi hanya menawarkan kerja untuk menjayakan sesuatu drama atau filem, bukannya bercinta sehingga membuatkan orang lain di set penggambaran terpalit sekali dengan kontroversi yang dilakukan.
“Suruh berlakon bukan bercinta. Bukan salah aku kalau pelakon bercinta kat set aku. Aku ajar berlakon bukan suruh buat betul-betul,” tulisnya.
Menjengah ruangan komen, hantaran itu mendapat pelbagai reaksi termasuk dari rakan-rakan artis yang pernah terpalit dengan kontroversi bercinta di set penggambaran sehingga ke jinjang pelamin.
Antaranya adalah pelakon Amar Baharin yang melangsungkan perkahwinan dengan aktres jelita, Amyra Rosli dan Nad Zainal yang baru berkahwin dengan Ungku Ismail.
Bagus juga kalau buat macam ini. Tapi kalau dah terjatuh cinta, tak bercinta di set penggambaran pun tetap boleh bercinta diluar set kan? - CARI
|