|
'Nilai insan seni ikut hasil kerja'
Ruminah berpandangan pelakon wajar dibayar setimpal mengikut hasil kerja seperti aksi sepenuh jiwa, ekspresi wajah, pergerakan dan identiti diri yang mempunyai nilai tertentu. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
KUALA LUMPUR: Pada usia 77 tahun, bintang veteran, Ruminah Sidek bersyukur tidak pernah berdepan isu kadar bayaran setiap kali kudratnya diperlukan dalam menghidupkan watak dalam projek drama, telefilem mahupun filem.
Ruminah yang mesra disapa Mak Mah gembira bakat dan pengalaman tak ternilai mendapat ganjaran setimpal, malah, anaknya, Adlin Aman Ramlie yang aktif dalam bidang kreatif, banyak membantu dalam merencanakan perjalanan karier seni pada usia emas.
"Soal bayaran semuanya, Alhamdulillah, berbaloi.
"Apabila ada syarikat produksi yang tawarkan saya sejumlah bayaran, saya minta mereka rujuk kepada RTM (untuk mendapatkan kadar bayaran atau upah bagi projek yang dijayakan)," katanya kepada BH Online.
Ruminah berpandangan pelakon wajar dibayar setimpal mengikut hasil kerja seperti aksi sepenuh jiwa, ekspresi wajah, pergerakan dan identiti diri yang mempunyai nilai tertentu.
"Kita juga tidak suka apabila ada pihak berkira. Kita 'menjual' bakat, jadi, kita perlu dibayar upah.
"Jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan kadar bayaran saya, boleh rujuk kepada pihak atasan.
"Namun, saya bersyukur, Adlin banyak membantu dalam soal ini. Kalau ada kesusahan, saya minta mereka rujuk kepada anak saya," katanya ditemui pada majlis pelancaran dan sidang media filem Didi & Friends The Movie di Panggung Asia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Berkongsi lanjut mengenai pembabitannya dalam filem animasi kanak-kanak popular itu, Ruminah berkata, dia pernah menjadi pelakon suara dalam projek lain sebelum ini.
"Saya pernah terbabit sebagai pelakon suara dalam sebuah projek animasi lain. Jadi, sudah tentu saya terbuka untuk menjayakan projek Didi & Friends The Movie.
"Sebaik ditawarkan, saya bersyukur masih mampu menjayakan watak seperti ini. Ini bermakna mereka percaya saya mampu buat.
"Disebabkan itu, saya gembira dan terharu. Alhamdulillah, saya suka menyumbangkan suara dalam projek Didi & Friends The Movie dan pengalaman ini menyeronokkan," katanya.
Ditanya soal cabaran menjayakan watak Nek Kura, Ruminah mengakui tugas itu bukanlah mudah, tetapi menyeronokkan.
"Seperti diketahui ramai, hendak menjayakan watak animasi ini bukanlah mudah. Ia bukan sekadar lakonan tetapi perlu pandai lenggok suara dan emosi.
"Jadi, andai perkara sukar seperti itu saya masih mampu buat, ia sangat menyenangkan hati.
"Saya tidak ingat berapa upah yang diberi jadi ini bermakna saya sangat sukakannya.
"Pada masa sama, saya tabik dan hormat kepada anak-anak muda yang menjayakan filem ini. Mereka berkemampuan menghasilkan filem animasi ini dengan baik," katanya.
Mak Mah bersama barisan pelakon pada majlis sidang media dan pelancaran filem Didi & Friends The Movie di Panggung Asia, Gombak, baru-baru ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Ruminah bersyukur bakatnya masih diperlukan dalam dunia lakonan sehingga kini.
"Alhamdulillah, dengan izin Allah, masih ada pihak yang perlukan saya.
"Sekarang, saya terbabit dalam projek biografi bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
"Iyalah, saya pula ibarat tunggu hari untuk meninggalkan dunia ini. Jadi, mereka (FINAS), siapkan karya mengenai Mak Mah. Saya pasti pergi dan perkara itu tidak boleh disangkal.
"Jadi, apabila saya tiada, orang boleh tahu mengenai diri saya apabila menonton biografi berkenaan.
"Selain itu, saya juga ada menjayakan projek telefilem dan beberapa naskhah lain," katanya.
Ruminah mengaku pada usia sekarang, minatnya terhadap dunia lakonan tidak pernah pudar, justeru tidak pernah memikirkan untuk berundur.
"Apabila hati kita suka dan selagi pekerjaan ini berfaedah kepada diri kita, Alhamdulillah, saya teruskan.
"Allah juga beri kesihatan kepada saya. Selagi industri seni perlukan dan saya hendak beri, mengapa tidak saya terus berlakon," katanya.
Mengenai kesihatannya, Ruminah berkata, pada usia 77 tahun, doktor mengesan dirinya dijangkiti kencing manis.
"Saya fikir sebab air botol berperisa ketika menjayakan penggambaran, mungkin itulah puncanya.
"Saya tidak minum kopi, teh, nescafe atau sebagainya. Saya hanya minum air kosong, tetapi sejak kebelakangan ini, saya suka minum air botol berperisa," katanya yang aktif dalam dunia seni sejak era 1960-an.
Sumber:https://www.bharian.com.my/hibur ... ni-ikut-hasil-kerja
|
|