|
Gambar hiasan
JERTIH: Bencana banjir yang melanda Terengganu minggu lalu tidak menjejaskan bekalan ikan segar khususnya di negeri itu, kata Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Yusoff Othman.
Beliau berkata pengurangan pendaratan ikan hanya berlaku di negeri Pantai Timur saja, manakala di pendaratan ikan di Pantai Barat berjalan seperti biasa.
"Secara keseluruhan bekalan ikan tidak terjejas dan isu pengurangan pendaratan di Pantai Timur juga tidak signifikan sebab nelayan sekarang (Pantai Timur) boleh turun ke laut tidak seperti dulu.
"Dulu tidak ada pemecah ombak, tetapi sekarang sudah ada (pemecah ombak) yang membolehkan nelayan pergi menangkap ikan," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada 46 nelayan daerah Besut yang terjejas banjir di Kompleks LKIM Besut, di sini, hari ini.
Yusoff berkata, sekiranya berlaku masalah kekurangan ikan, LKIM akan mengeluarkan stok ikan segar beku (QFish) bagi menstabilkan bekalan protein itu.
Terdahulu, Yusoff turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM500, Qfish dan beras di bawah program Tabung Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan LKIM kepada 36 nelayan di Chalet Nelayan Resort di daerah Setiu.
"Program dilaksanakan secara berterusan bagi memberi bantuan segera kepada nelayan yang terjejas dalam bencana alam atau kemalangan, sekali gus meringankan beban mangsa dan keluarga.
"Pada tahun ini saja, LKIM menyalurkan bantuan melalui tabung berkenaan berjumlah RM1.1 juta kepada 1,337 penerima," katanya.
Yusoff berkata, LKIM juga mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana LKIM pada peringkat negeri dan ibu pejabat untuk menyelaras persiapan bantuan kepada komuniti nelayan.
– BERNAMA
https://www.bharian.com.my/berit ... kan-segar-mencukupi |
|