|
Nama pempengaruh media sosial yang kini bergelar pelakon Aisar Khaled, 21, seakan sinonim dengan kontroversi.
Dihimpit pelbagai kontroversi gara-gara kandungan dalam saluran YouTube yang disifatkan 'tidak bijak', Aisar akur kesilapan yang pernah dilakukan.
IG Aisar
Bermula kecaman hebat ketika menziarahi pusara penyanyi Allahyarham Siti Sarah Raisuddin, sambil menawarkan hadiah wang tunai buat pengikut, Aisar sedar kesilapan diri, lantas memadamkan kandungan yang dianggap sensitif daripada saluran YouTube miliknya.
Seterusnya, kontroversi dicetuskan tidak pernah padam apabila Aisar dikecam bersolat dalam gimnasium, bengkel dan depan stesen minyak sehingga netizen mula mual dan jelek dengan sikapnya yang dianggap 'lapar perhatian'.
Seakan kalis kecaman, Aisar bikin kontroversi lagi apabila menayangkan bongkahan wang RM1 diletakkan bersepah-sepah dalam rumah.
Aisar mendakwa membeli rumah bernilai RM1 juta, namun, kantoi apabila rumah itu bukan miliknya, sebaliknya disewa.
Namun, pelakon filem Chadelier, Gila Gusti, Hantu Kelima dan Lelaki Lingkungan Cinta seakan-akan sepi kontroversi, sejak akhir-akhir ini.
Bertemu jejaka kacukan Melayu-Jordan pada sidang media kedua dan pengumuman calon Top 5, Festival Filem Malaysia Ke-32 (FFM 32), Aisar berkata, dia kini lebih memberikan fokus kepada kerja amal.
Mengakui kesilapan dilakukan didorong darah muda, Aisar berkata, dia tidak suka berfikir panjang dan hanya memikirkan 'audiens' untuk media sosial sehingga mendorongnya melakukan perkara dilihat kurang bijak.
"Sebagai pencipta kandungan, apa yang diinginkan untuk dikenali dan menjadi popular. Bila nama dikenali, mudah buat duit apabila ditawarkan membuat ulasan produk untuk jenama terkenal, kempen dan sebagainya.
"Akibat terlalu taasub menjadi popular dan kaya, ia membuatkan saya alpa sehingga segala benda hendak dijadikan kandungan tanpa memikirkan impak. Akhirnya, memakan diri saya.
"Saya terima teguran netizen untuk dijadikan iktibar. Sekarang, baru saya sedar benda baik pun boleh dijadikan kandungan, bukan benda buruk sahaja.
"Mungkin dahulu saya masih baru dan teruja dengan perhatian sehingga sanggup 'memperbodohkan' diri sendiri," katanya.
IG Aisar
Justeru, Aisar menasihat pencipta kandungan yang baru hendak berjinak-jinak dalam media sosial supaya berhati-hati mencipta kandungan dan elakkan melakukan perkara yang boleh menyentuh sensitiviti.
Katanya, tidak semestinya kandungan kontroversi boleh menjadikan seseorang popular, tetapi kandungan baik juga boleh menaikkan nama seseorang.
Biarpun namanya sudah semakin dikenali, namun, Aisar masih lagi melakukan ulasan produk, malah tidak kisah membantu produk kecil.
Menafikan kehidupan semakin senang, Aisar berkata, dia masih menerima tawaran membuat ulasan untuk produk kecil kerana tidak mahu bersikap tamak, lantaran tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan.
"Walaupun sibuk penggambaran dan kerja lain, saya masih menerima ulasan produk kecil. Bukan apa, saya tidak tahu apa yang bakal berlaku pada masa depan.
"Saya tak mahu dilihat berlagak tidak mahu terima 'job' kecil. Kita tak apabila tiba sesuatu berlaku, saya pula yang dituduh terhegeh-hegeh mencari tawaran kecil," katanya.
Sumber: BH Online
|
|