Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Uganda nyaris dibaham badak air di daerah Katwe-Kabatoro di barat daya negara itu.
Jurucakap polis memaklumkan, dalam kejadian pada awal bulan lalu, mangsa dikenali sebagai Iga Paul sedang bermain di halaman rumahnya di sel Rwenjubu, Tasik Katwe sebelum badak air yang berada berhampirannya membaham separuh daripada tubuh kanak-kanak itu.
Tindakan berani seorang penduduk telah menyelamatkan Paul. - Foto: Agensi
"Ia kemudiannya meluahkan semula budak malang tersebut," katanya.
Difahamkan, seorang penduduk, Chrispas Bagonza yang berada di lokasi kejadian bertindak segera membaling batu ke arah badak air tersebut dengan tujuan untuk menakut-nakutkannya.
"Tindakan berani Bagonza berjaya menyelamatkan Paul yang segera dibawa ke klinik berhampiran sebelum dipindahkan ke Hospital Bwera di barat Uganda untuk rawatan lanjut," ujarnya lagi.
Paul dibenarkan keluar dari hospital setelah pulih sepenuhnya.
Kanak-kanak bernasib baik itu turut diberikan vaksin rabies sebelum diserahkan semula kepada ibu bapanya.
"Walaupun badak air itu telah kembali ke tasik, kesemua penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran habitat haiwan perlu sentiasa berwaspada dengan spesies liar yang berbahaya.
Naluri haiwan sentiasa melihat manusia sebagai ancaman kepada mereka dan sebarang interaksi boleh menyebabkan ia bertindak agresif," tambahnya.
Menurut National Geographic, badak air dikenali sebagai salah satu haiwan paling berbahaya kerana rahangnya yang kuat mampu mematahkan sampan.
Sumber: Sinar Harian
|