Edited by Vellfire at 13-12-2022 02:51 PM
Lee (depan, tengah) menerima cendermata berupa bakul buah-buahan daripada kanak-kanak yang mendapat manfaat daripada projek amal itu sambil disaksikan (barisan belakang, dari dua kanan) Dr Kim Tan, Dr Philip Raja dan lain-lain.
MIRI: Projek amal sumbing bibir dan lelangit yang dijalankan Hospital Columbia Asia Miri telah memberi manfaat kepada lebih 400 pesakit.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, projek yang bermula pada 2004 itu dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Sumbing Bibir & Lelangit Malaysia (CLAPAM) Cawangan Miri.
“Dari awal projek sumbing bibir dan lelangit ini, saya sentiasa menyokong dan menghadiri kebanyakan acara termasuk mengumpul dana dan menderma untuk projek ini. “Saya sangat kagum dengan pencapaian persatuan dan kejayaan projek memulihkan senyuman kepada kanak-kanak yang dilahirkan dengan sumbing bibir dan lelangit,” katanya ketika melancarkan Persatuan Bantuan Sumbing Bibir & Lelangit Sarawak (CLAPHAS) di Hotel Imperial di sini, malam Isnin.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I Datuk Sebastian Ting, Pengerusi CLAPHAS Datuk Dr Philip Raja, Timbalan Pengerusi Eksekutif Dayang Enterprise Holdings Berhad Datuk Ling Suk Kiong, Presiden CLAPAM Malaysia Zainal Azhar Ahmad, pakar bedah plastik Dr Kim Tan, Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong, Pengurus Besar Hospital Columbia Asia Miri Dr Chong Ket Cheong dan Ketua Perkhidmatan Perubatan Hospital Columbia Asia Miri Dr Roland Mattu.
Lee yang juga ADUN Senadin gembira kerana terdapat persatuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan seperti CLAPHAS yang ditubuhkan di Sarawak untuk melengkapkan perkhidmatan hospital kerajaan, bagi membantu golongan kurang berkemampuan yang memerlukan pembedahan plastik untuk kanak-kanak sumbing bibir dan lelangit, di negeri ini.
“Saya tahu ada ramai keluarga miskin yang tidak mampu menanggung kos pembedahan plastik dan ramai keluarga yang berada jauh di luar bandar menghadapi masalah logistik untuk datang ke hospital kerajaan di Miri bagi janji temu pembedahan tersebut.
“Pasukan persatuan bukan sahaja menyediakan perkhidmatan pembedahan percuma tetapi mereka turut membantu kanak-kanak dan ibu bapanya dalam aspek berkaitan pengangkutan dan logistik untuk datang bagi menjalani pembedahan," katanya.
"Usaha ini telah membantu ramai kanak-kanak yang memerlukan, menjalankan pembedahan mereka dengan jayanya,” tambah Lee lagi.
Mengenai CLAPHAS, beliau menegaskan persatuan itu sebagai badan sara diri yang bergantung kepada sumbangan terutamanya daripada ahli mereka, syarikat swasta dan orang ramai.
Dana yang diterima persatuan itu katanya, disalurkan untuk membantu keluarga kurang bernasib baik yang mempunyai anak sumbing bibir dan lelangit.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada sumbangan orang ramai yang banyak membantu persatuan memastikan pelaksanaan projek amal murni tersebut dapat berjalan lancar di Hospital Columbia Asia Miri.
"Saya menyokong penuh usaha berterusan anda dan moto anda "Memulihkan Senyuman" kepada kanak-kanak yang dilahirkan dengan sumbing bibir dan lelangit," tambahnya lagi.
Kemudian pada majlis yang sama, Lee telah berjanji untuk menderma RM25,000 di bawah peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi projek amal berkenaan.
Majlis itu turut menyaksikan sumbangan lain untuk menyokong projek murni berkenaan untuk golongan miskin.
Antaranya ialah Hospital Asia Colombia (RM20,000), Datuk Sebastian Ting (RM15,000) serta RM10,000 masing-masingnya daripada ADUN Pujut Adam Yii dan usahawan Datuk James Ling.
|