View: 399|Reply: 0
|
Piala Dunia satukan rakyat Brazil
[Copy link]
|
|
Pemain Brazil, Raphinha meraikan jaringannya ketika aksi persahabatan menentang Tunisia di Parc des Princes, Paris, September lalu. - REUTERS
BARCELONA: Pemain sayap Brazil dan Barcelona, Raphinha berkata Piala Dunia satu tempoh yang baik untuk menyerlahkan lagi perasaan kebersamaan dalam kalangan rakyat Brazil ketika dia mengimbau kejayaan negaranya muncul juara kali terakhir pada 2002.
Raphinha, yang membuat penampilan sulung bersama Brazil pada Oktober 2021, akan beraksi pada Piala Dunia pertamanya di Qatar.
"Saya sudah bersedia untuk Piala Dunia dan saya bekerja keras untuk ke sana sebaik mungkin, dari segi fizikal dan mental," kata Raphinha dalam wawancara yang disiarkan oleh Barca semalam.
"Suasananya adalah pasukan kebangsaan yang mahu menang, bercita-cita tinggi dan mahu merangkul kejuaraan. Ada suasana yang amat baik dalam kalangan pemain.
"Saya tidak menganggapnya sebagai tekanan, pasukan seperti Brazil sentiasa menjadi pesaing utama memburu gelaran Piala Dunia atau mana-mana kejohanan yang disertai. Harapan dan impian penyokong satu perkara biasa kerana kami pasukan berkualiti, memiliki nama besar."
Raphinha menyertai Barcelona Julai lalu dari kelab Liga Perdana Inggeris, Leeds United sekali gus mengikut jejak langkah pemain hebat Brazil seperti Romario, Ronaldo, Ronaldinho dan Neymar beraksi di Nou Camp.
"Biasalah jika penyokong teruja buat Brazil memenangi Piala Dunia kali keenam, begitu juga kami," kata pemain berusia 25 tahun itu sambil mengimbau kemenangan 2-0 mereka ke atas Jerman pada final di Jepun 20 tahun lalu susulan dua gol sumbangan Ronaldo.
"Saya tidak ingat sangat mengenai Piala Dunia 2002 kerana saya masih kecil. Tetapi ia satu perasaan yang luar biasa dan sukar untuk digambarkan. Semua rakyat Brazil berpelukan dan bersatu. Kini ia satu saat yang baik untuk kami bersatu sekali lagi."
Raphinha, yang mengumpul 11 kaps dan menjaringkan lima gol antarabangsa termasuk tiga pada kelayakan Piala Dunia, berharap dapat mengulangi kejayaan Brazil pada 2002 - rekod kejuaraan dunia kelima mereka.
"Saya berjanji jika kami muncul juara Piala Dunia, saya akan melakukan perkara yang sama seperti saya lakukan ketika kami berjaya mengekalkan Leeds dalam Liga Perdana musim lalu, apabila saya berjalan melintasi padang dengan berlutut," katanya.
Brazil memulakan kempen Piala Dunia mereka pada 24 November menentang Serbia diikuti perlawanan Kumpulan G dengan Switzerland dan Cameroon. – REUTERS
https://www.bharian.com.my/sukan ... tukan-rakyat-brazil |
|
|
|
|
|
|
| |
|