|
Pelakon dan pelawak, Kenchana Devi, 49, mengakui terpaksa menolak dengan baik mana-mana tawaran untuk muncul di kaca televisyen pada hari sambutan Deepavali.
Menurutnya, sejak dahulu, sukar untuk dia memberi persetujuan bertugas pada hari perayaan memandangkan saban tahun, Deepavali adalah antara hari yang dinanti-nanti untuk berkumpul bersama keluarga.
“Bukan hendak menafikan rezeki, tetapi memang jika ada tawaran yang memerlukan saya bekerja pada hari Deepavali, saya akan tolak.
“Sebenarnya, pada tahun ini saya ada mendapat tawaran daripada stesen televisyen yang mahu saya terlibat dalam program sempena Pesta Cahaya.
“Maaf, saya tidak boleh buat. Sudah lama saya tetapkan pendirian itu, lebih-lebih lagi apabila sudah menjadi isteri dan ibu,” katanya.
Jelas pelakon yang popular dengan sitkom Puteri ini, kebiasaannya pada hari perayaan, dia akan sibuk memasak dan menguruskan keluarga.
“Saya memang suka memasak dan akan menyediakan hidangan istimewa untuk keluarga. Biasanya, pada siang hari, saya akan bersama keluarga di rumah dan pada sebelah malam pula akan berkumpul di kediaman ibu mentua yang tinggal berhampiran.
“Susah sikit untuk terima tawaran kerja, lagipun saya kena jaga banyak hati, terutama keluarga yang mahu kami semua berkumpul bersama-sama,” katanya.
Tambah Kenchana, dia tidak ralat jika terlepas sebarang tawaran kerana percaya rezeki tidak pernah salah alamat.
Kongsi Kenchana, dia masih mengekalkan tradisi keluarga setiap kali menyambut perayaan Deepavali.
“Antaranya mandi minyak sudah menjadi tradisi untuk membersihkan diri dan paling penting, saya masih amalkan menyediakan maruku dan manisan. Kolam juga saya tidak pernah lupa buat.
“Semua tradisi itu mempunyai pengertian mengikut kepercayaan kami. Saya ingat pesanan mendiang mak dan ikut cara dia. Disebabkan itu, setiap kali Deepavali menjelma, saya pasti terkenangkan dia,” katanya.
Kenchana mendirikan rumah tangga dengan Saravanadevan Girupai pada 2012 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Mithrasha Devi yang kini berusia 7 tahun.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Kenchana dikurniakan tiga anak iaitu Patkieswaran, Tashvetha Devi, dan Mishalin Devi.
Sumber: Utusan |
|