|
Seorang wanita di Massachusetts, Amerika Syarikat, menghadapi tuduhan melakukan serangan selepas melepaskan lebah terhadap timbalan-timbalan syerif yang menyampaikan notis pengusiran.
Portal Metro UK melaporkan, Rorie Woods dihadapkan ke Mahkamah Daerah Springfield atas pelbagai pertuduhan berpunca daripada insiden pada 12 Oktober lalu.
AP
Timbalan syerif berkenaan yang cuba menyampaikan notis pengusiran di Longmeadow, Massachusetts, itu bertemu dengan sekumpulan penunjuk perasaan.
Tidak lama selepas mereka memulakan pengusiran, Woods muncul dengan sebuah kenderaan yang menunda treler yang penuh dengan sarang lebah.
Woods memakai sut pelindung lebah, memecahkan penutup sarang dan mula menggoncangnya ke arah timbalan syerif berkenaan, menurut Jabatan Syerif Daerah Hampden.
Lebah itu mengerumuni kawasan itu dan menyengat beberapa orang ramai termasuk timbalan dan individu lain.
Dia kemudian cuba meletakkan sarang di depan pintu rumah.
Syerif Kaunti Hampden Nick Cocchi berkata, pihaknya hanya menjalankan tugas.
"Saya menyokong hak orang ramai untuk membantah secara aman tetapi apabila anda melepasi garisan dan meletakkan kakitangan saya dan orang ramai dalam bahaya, saya berjanji anda akan ditangkap,' katanya seperti dilaporkan kepada FOX 25.
Cocchi juga berkata, Woods pergi ke Longmeadow di kaunti lain untuk protes itu.
Menurut rekod mahkamah yang diperoleh MassLive, timbalan syerif memaklumkan Woods di tempat kejadian dan beberapa pekerja di situ alah kepada sengatan lebah.
"Kami meminta seorang kakitangan pergi ke hospital, dan mujurlah dia baik-baik saja, atau dia akan menghadapi tuduhan membunuh," kata Cocchi.
Woods, dari Hadley, Massachusetts, kini ditempatkan di Kemudahan Koreksional Wanita Wilayah Massachusetts Barat.
Dia menghadapi beberapa pertuduhan termasuk serangan menggunakan senjata berbahaya dan berkelakuan tidak senonoh.
Sumber: Harian Metro |
|