CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 344|Reply: 0

[Pulau Pinang] CAP gesa henti aktiviti jejaskan hutan, gunung di Malaysia

[Copy link]
Post time 14-10-2022 06:17 PM | Show all posts |Read mode
CAP gesa henti aktiviti jejaskan hutan, gunung di Malaysia


Oleh Zuhainy Zulkiffli - Oktober 14, 2022 @ 3:34pm  [email protected]




Hakisan tanah dari Gunung Bongsu di Kulim, Kedah yang menimbus sungai dan saliran di kampung berhampiran. - Foti ihsan CAP




GEORGETOWN: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta kerajaan negeri digesa mengambil tindakan segera mengharamkan sebarang aktiviti yang berisiko menjejaskan hutan di pergunungan negara ini.

Gesaan itu disuarakan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengambil kira kegiatan seperti pembalakan, pertanian dan perlombongan yang dilakukan secara berleluasa dan boleh menyebabkan kerosakan alam sekitar.

Selain itu, ia juga menyumbang kepada kejadian bencana seperti tanah runtuh dan banjir lumpur sekali gus menyebabkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata selain penebangan hutan, aktiviti pembersihan tanah bagi projek perladangan durian turut mengancam gunung-ganang di Malaysia.

Sebagai contoh, katanya, apa yang berlaku di Gunung Lambak di Kluang, Johor serta Gunung Inas di Baling dan Gunung Bongsu di Kulim, masing-masing di Kedah.

Beliau berkata, pengajaran perlu diambil daripada kejadian membabitkan lebih 10 kampung di kaki Gunung Jerai serta taman perumahan sekitar daerah Yan, Gurun dan Merbok yang dilanda banjir kilat akibat hujan lebat serta fenomena kepala air tahun lalu.

"Banjir dan fenomena kepala air di Baling pula menyebabkan tiga nyawa terkorban dan lebih 1,400 penduduk dipindahkan ke tiga pusat pemindahan, selain 15 rumah musnah dihanyut arus deras.



Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader. - NSTP/ ZUHAINY ZULKIFFLI

"Kawasan seluas 600 hektar di puncak Gunung Inas yang digondolkan sebelum ini bagi tujuan penanaman ladang durian Musang King berskala besar didapati mengalami kerosakan sangat teruk dan sukar untuk dipulihkan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu, Mohideen berkata, aktiviti perlombongan juga menyumbang kemusnahan gunung-ganang dan perlu diberikan perhatian sewajarnya.

Beliau berkata, walaupun perlombongan kuari pasir yang sedia beroperasi mendapat kelulusan pihak berkuasa, ia perlu dikaji semula kerana membabitkan kawasan hutan simpan kekal.

Berikutan teknologi kini menjadi semakin canggih, katanya, lebih banyak bahan galian tersimpan di perut bumi dapat dieksploitasi dan membolehkan syarikat perlombongan masuk jauh ke kawasan pedalaman.

"Biasanya kawasan yang dijadikan sasaran ialah hutan belantara, kawasan tadahan air dan kawasan bergunung-ganang, malah kegiatan perlombongan di kawasan itu menyebabkan kerosakan teruk kepada alam sekitar," katanya.

Mengenai projek perintis bagi cadangan perlombongan lantanida di kawasan seluas kira-kira 2,161 hektar (5,339 ekar) di Kenering di Hulu Perak yang akan dimulakan tidak lama lagi, beliau percaya ia juga berisiko untuk mengancam alam.



Kain rentang dipasang penduduk berhampiran Gunung Bongsu, Kulim Kedah bagi membantah aktiviti pembalakan di kawasan itu. - Foto ihsan CAP

"Seperti Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), projek itu terletak di dalam Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 di bawah Rancangan Fizikal Negara (RFN) yang disediakan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976," katanya.

Menurut Mohideen lagi, kawasan Bukit Buchu di Kuala Nerus, Terengganu turut terancam disebabkan hakisan teruk susulan aktiviti pencerobohan manusia.

"Kawasan itu mengandungi banyak khazanah berharga sebagai sumber rujukan penting ahli geologi bagi mengkaji zaman prasejarah di negara ini.

"Sehubungan itu, pihak berkuasa berkenaan digesa segera menanam semula spesies pokok hutan yang bersesuaian bagi memulihkan kerosakan alam sekitar yang berlaku dan mengembalikan semula kawasan terbabit seperti sedia kala," katanya.

Pada 2021, Malaysia kehilangan 123,000 hektar hutan semula jadi, manakala lebih 400 hektar hutan di Bukit Cerakah dinyahwartakan oleh Kerajaan Selangor.

Di tanah tinggi Lojing di Gua Musang pula, lebih 3,000 Orang Asli terancam kehidupan mereka akibat aktiviti pertanian yang menjejaskan alam sekitar di kawasan itu.








Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

25-10-2024 04:15 AM GMT+8 , Processed in 0.037560 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list