|
Penyanyi dan komposer Daqmie sudah dapat menjangka lagu ciptaannya Casablanca yang dinyanyikan oleh Nuha dan Naufal Azrin bakal menerima sambutan hebat pendengar sebelum ia dilancarkan lagi.
Daqmie atau nama sebenarnya Azmee Abdul Manap, 51, memberitahu semasa perbincangan awal dengan Pengarah Urusan Beegood Music iaitu Amir Hufaz, dia telah menyuarakan keyakinan lagu ini akan mencetus fenomena dengan syarat strategi pemasaran perlu dilakukan dengan betul.
Gambar Hiasan
"Saya sudah beritahu Amir yang lagu Casablanca ini pasti akan meletup gila. Tetapi syaratnya kena buat marketing betul-betul.
"Alhamdulillah, benarlah lagu itu mendapat sambutan ramai sehingga ke luar negara," kata Daqmie kepada mStar.
Daqmie ditemui ketika sidang media pelancaran album Sahabat Selamanya yang berlangsung di Dataran Karyawan FINAS, baru-baru ini.
Menurut komposer itu, sebelum mencipta lagu Casablanca dia tidak mengenali Nuha dan Naufal secara dekat, malah hanya mendapat gambaran yang diberikan Amir tentang dua penyanyi berkenaan.
"Amir memberitahu Nuha dan Naufal itu orangnya kecil-kecil dan berumur 22 tahun.
"Bila saya dapat gambaran tentang peribadi mereka, maka terhasilkan lagu yang catchy sesuai dengan personaliti dua penyanyi itu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Daqmie menjelaskan dia tidak boleh mencipta lagu mengikut rasa sendiri kerana ia mungkin tidak sesuai dengan penyanyi yang akan membawakan lagu tersebut.
Setiap lagu yang dicipta haruslah mengikut kesesuaian dengan penyampaian penyanyi itu.
"Saya akan dengar suara dan lihat karakter serta kesesuaian untuk tahu sama ada lagu ciptaan saya itu relevan pada mereka atau tidak.
"Jika kita buat lagu berdasarkan rasa sendiri, mungkin bagi kita ia sedap didengar namun untuk generasi muda tidak sama. Mereka punya citarasa tersendiri," katanya.
Sementara itu, Daqmie turut berkongsi dia kini sedang giat menyiapkan single terbaharu yang juga merupakan kesinambungan bagi lagu Casablanca.
Komposer ini juga menjelaskan dia tidak tertekan dengan sambutan yang akan diterima nanti kerana sudah pasti ramai peminat bakal membandingkan.
"Saya sedang dalam usaha menyiapkan lagu Casablanca part 2.
"Buat masa ini saya belum berasa tekanan kerana lagu itu belum pun dilancarkan.
"Tekanan akan datang sekiranya lagu kita tidak menerima sambutan baik daripada pendengar," katanya. -CARI
Sumber: mStar Online
|
|