Sumber IG
Pemergian pemerintah monarki Britain, Ratu Elizabeth II sedikit sebanyak turut memberi kesan kepada kumpulan nasyid kontemporari, Raihan, yang menyimpan kenangan manis bersama wanita hebat yang berkuasa di Britain selama 70 tahun itu.
Raihan pernah dijemput mengadakan persembahan bersempena Sidang Kemuncak Komanwel 1997 di Edinburgh, Scotland yang turut dihadiri oleh mendiang Ratu Elizabeth II dan Putera Charles.
Menerusi laporan BH Online, Raihan turut menerima kunjungan Ratu Elizabeth II di Studio Synchrosound, Petaling Jaya sebelum berlangsungnya Sukan Komanwel pada 1998.
"Saya masih ingat, kami dimaklumkan oleh Wisma Putra bahawa baginda ingin bertemu dengan Raihan pada awal pembabitan dalam bidang seni.
"Saya diberitahu, Istana Buckingham meminta Wisma Putras untuk mengaturkan pertemuan baginda dengan Raihan.
"Kami dipertemukan dalam satu acara yang diadakan di Synchrosound Studio, Petaling Jaya. Ketika itu, Raihan mahu merakamkan semula lagu Syukur dan baginda diberi penghormatan untuk menekan butang tanda rakaman sebagai simbolik," kata Che Amran yang menyifatkan pertemuan pertama dengan baginda sebagai pembakar semangat untuk Raihan.
Berkongsi mengenai momen bermakna buat kumpulan yang popular dengan lagu Puji-Pujian itu, kata Che Amran, dia dimaklumkan Ratu Elizabeth II bertemu dengan Raihan sebagai tanda menunjukkan apresiasi terhadap irama nasyid.
"Beliau banyak bertanyakan mengenai lagu nasyid dan menzahirkan rasa kagum terhadap konsep muzik berbentuk 'acapella' dan banyak menggunakan alatan muzik perkusi.
"aling meninggalkan kesan apabila beliau mengatakan irama nasyid sangat penting buat bangsa Melayu bagi membantu menaikkan Malaysia ke peringkat global.
"Kami anggap ungkapan beliau sebagai sokongan, pembakar semangat dan motivasi untuk kumpulan nasyid seperti Raihan terus memperjuangkan irama ini," katanya. - CARI
|