Sumber IG
Penyanyi, Daniel Chuer mengakui cemburu apabila melihat rakan seangkatannya menempa nama dalam industri seni suara sedangkan dirinya masih berada di tempat yang sama.
Jejaka berusia 21 tahun itu mengakui hatinya terjentik melihat rakan-rakan lain dijaga penuh rapi oleh syarikat rakaman dinaunginya namun dia pula dianaktirikan.
Memetik laporan BH Online, pemilik nama sebenar Daniel Chuer Hamasiah @ Samsudin itu nekad menamatkan kontrak dengan label dinaunginya, Aries Music lebih awal daripada tarikh sepatutnya.
"Selepas menghasilkan single tahun lalu, syarikat rakaman langsung tidak mempunyai perancangan mengembangkan kerjaya nyanyian saya.
"Setiap kali buatlive dalam media sosial, ramai peminat tanya bila mahu keluarkan single baharu. Malah, ada juga membandingkan saya dengan peserta program realiti, Big Stage lain yang sudah keluar dengan lagu baharu.
"Beberapa kali saya keluarkan teaser lagu tetapi sehingga ke hari ini tiada usaha untuk menerbitkan lagu. Saya masih muda dan banyak benda baharu yang saya mahu terokai," katanya.
Penyanyi kelahiran Tuaran, Sabah itu berkata, syarikat rakaman sepatutnya menyediakan ruang publisiti untuk artis namun perkara itu tidak berlaku.
"Selama ini orang hanya kenal saya sebagai penyanyi lagu saduran. Saya teringin dikenali dengan single sendiri.
"Saya sudah maklumkan perkara kepada pihak syarikat rakaman cuma ia belum dibuat secara rasmi. Mereka ada bertanya kenapa saya nak tinggalkan syarikat rakaman.
"Saya jelaskan alasan di sebalik keputusan di buat. Saya akan bertemu dengan pihak pengurusan tertinggi label untuk membincangkan perkara ini,"katanya yang sudah setahun tidak berjumpa dengan syarikat rakaman.
Walaupun sedikit ketinggalan jika dibandingkan dengan rakan seangkatan yang lain, Daniel bagaimanapun tidak menganggap pembabitannya dalam bidang seni seakan membuang masa kerana pembabitan dalam program Big Stage tetap memberikan kelebihan kepadanya.
"Nak kata buang masa, tidak sama sekali sebab saya menggunakan populariti ketika dalam Big Stage untuk menempatkan diri dalam industri walaupun tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada syarikat rakaman.
"Dulu saya muda dan banyak perkara tidak faham ketika menandatangani kontrak, sekarang saya sudah matang," katanya yang mencari syarikat rakaman baharu untuk membantu dalam urusan publisiti akan lebih terjamin. -CARI
|