|
Ning Baizura masih 'berbisa' untuk menyanyikan lagu secara Live.
Tak mengapa nak gelar saya suara Scooby-Doo – Ning Baizura
PETALING JAYA -Pemilik suara soprano, Ning Baizura tidak akan sesekali mengalah dalam kerjayanya sebagai penyanyi meskipun menerima kecaman hebat kononnya sudah tidak boleh menyanyi susulan video persembahan terkucilnya tular dalam media sosial baru-baru ini.
Tutur Ning atau nama penuhnya Ning Baizura Sheikh Hamzah, 47, kecaman diterimanya tidak seteruk yang pernah dilalui pada awal kerjaya sebagai penyanyi sejak hampir 30 tahun lalu.
“Kontroversi seksi, gosip panas, semuanya sudah saya lalui. Isu sebegini seperti kena gigit semut tetapi jangan dilayan sangat sakit itu.
“Kebanyakan yang mengecam ialah netizen generasi muda. Mereka merosakkan nama netizen sebab bukan semua yang berfikiran negatif sebegitu,” katanya kepada media selepas pelancaran Wondersuit by Jovian di sini semalam.
Penyanyi yang popular menerusi lagu Awan Terpilu itu juga mengakui tidak bersalah dan menganggap isu ‘terkucil’ di atas pentas sebagai lumrah kehidupan seorang penyanyi.
Katanya lagi, ramai rakan artis yang mengirimkan kata-kata semangat dan sokongan kepadanya selepas video nyanyiannya itu tular sehingga menerima kecaman hebat.
“Untuk ini, saya tidak salah. Ramai rakan artis yang mesej tanya bertanya khabar, beri sokongan moral tetapi jawapan saya, saya okey sahaja.
“Walaupun dikecam, saya gembira sebenarnya sebab selepas 30 tahun dalam industri, ada juga yang bercakap tentang saya.
“Lebih baik orang bercakap tentang kita, tidak kiralah baik atau buruk, ubahnya menjadi positif. Sayalah orang yang paling positif dalam bidang seni ini,” jelasnya lagi.
Sementara itu, dia turut bersyukur kerana rezeki yang hadir selepas video tersebut tular sangat menakjubkan, malah lebih ramai yang meminta untuk mendengar lagu Awan Terpilu dalam setiap persembahan.
Tak kisahlah nak gelar saya bersuara Scooby-Doo atau apa sahaja, sebab yang penting rezeki undangan untuk persembahan semakin mencurah.
“Semakin ramai yang meminta saya mendendangkan lagu Awan Terpilu, Alhamdulillah,” jelasnya teruja.
Minggu lalu, nama Ning menjadi bahan bualan hangat netizen apabila tular sepotong video memaparkan nyanyiannya ‘tergelincir’ ketika mendendangkan lagu Awan Terpilu dalam sebuah persembahan.
Menurutnya, insiden tanpa sengaja itu terjadi kerana tidak dapat menahan rasa sebak mengenang memori bersama arwah bapanya. Ning juga mengakui kepenatan kerana telah membuat persembahan selama empat malam berturut-turut. – KOSMO! ONLINE
SUMBER:https://www.kosmo.com.my/2022/08 ... y-doo-ning-baizura/
|
|