|
Jasmin Hamid, 48, menegaskan keadaan kesihatannya kini pada tahap baik dan masih boleh bekerja seperti biasa walaupun pernah mengalami serangan jantung pada hujung Mei lalu.
Kata pelakon itu, pihak produksi yang ingin menawarkan projek lakonan kepadanya tidak perlu bimbang memikirkan situasi kesihatannya kerana dia sekarang semakin pulih dan masih bersemangat untuk bekerja.
IG Jasmin
"Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang mana tahap kesihatan saya buat masa ini, baik-baik saja. Insya Allah, saya juga masih boleh bekerja macam biasa walaupun pernah mengalami serangan jantung sebelum ini.
"Malah, saya akan menjalani pemeriksaan dengan doktor pakar pada Februari tahun depan. Apapun, sekarang ini saya memang sihat dan boleh berlakon lagi," katanya kepada Harian Metro, ketika ditemui pada sidang media secara virtual drama Anak Beranak Abang Yie, di sini, tengah hari tadi.
Jasmin berkata, apa yang pasti kini dia sangat peka dengan keadaan kesihatan dirinya, termasuk menjaga pemakanan harian. Katanya, dalam keadaan sekarang menjaga rutin pemakanan adalah sangat penting.
"Kalau rasa kurang sihat dan memang rasa tak boleh bekerja, saya akan berehat secukupnya. Apapun, paling utama adalah menjaga rutin pemakanan yang lebih sihat setiap hari," katanya lagi.
Terdahulu, Jasmin yang mempunyai sejarah keluarga menghidap penyakit jantung dimasukkan ke Unit Penjagaan Koronari (CCU) di sebuah hospital, di ibu kota akibat mengalami serangan jantung pada 31 Mei lalu.
Kini tampil membintangi Anak Beranak Abang Yie sebagai watak Che Yah, Jasmin berkata drama itu sangat menarik kerana mengisahkan ragam sebuah keluarga ketika berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19 sebelum ini.
Drama Anak Beranak Abang Yie itu juga dibintangi Azlee Senario sebagai Abe Yie, Aiman Tino (Muluk) dan ramai lagi. Ia menemui penonton di TV3 mulai hari ini, jam 6 petang di slot Sakura dari Isnin hingga Khamis.
Sumber: Harian Metro |
|