Sumber Kosmo
Anak seni yang bakatnya digilap menerusi pertandingan Sinaran Pasport Kegemilangan 1993, Shamsul Ghau Ghau menerima dengan hati terbuka bahawa zaman kegemilangannya sudah lama berlalu.
Menerusi laporan Kosmo! Online, pemilik nama sebenar Shamsul Azahar Aliddin itu sudah lapan tahun tidak diberikan tawaran untuk menjayakan watak utama sesebuah naskhah.
Bagaimanapun, Shamsul baru-baru ini diberikan peranan besar untuk membintangi drama arahan Mp. Roslin yang berjudul Guard Komando.
Dia mengakui ada rasa takut untuk melakonkan watak utama kerana sudah lama tidak berada di posisi berkenaan.
Babak drama Guard Komando (Sumber Harian Metro)
"Apabila lama tak berlakon, mestilah ada rasa takut, gugup dan gementar. Digandingkan pula dengan pelakon-pelakon yang mempunyai ramai pengikut di media sosial," katanya.
Sudah berusia 54 tahun, Shamsul yang popular dengan lagu Selamat Jalan Romeo itu berharap agar diberikan watak yang bersesuaian dengan usianya.
Ditanyakan mengenai rahsia yang membolehkan pelawak kekal relevan, kata Shamsul, dia mengambil inisiatif untuk melakukan kajian sendiri dengan melihat bagaimana pelawak itu boleh dalam industri.
"Zaman berubah, sementara pelawak datang dan pergi. Tapi, macam mana seseorang itu boleh kekal relevan? Untuk pelawak terdahulu yang mungkin pernah diangkat sebagai 'superstar', kini anda merupakan bekas 'superstar'.
"Kaedah yang saya dapat untuk kekal relevan, jika tidak boleh bersaing dengan mereka maka sertailah mereka. Walaupun tidak lagi bergelar hero, sekurang-kurangnya kita masih berada dalam kelompok pelawak yang sedang popular pada hari ini," katanya. - CARI
|