Meski pun bertebaran komen yang mengatakan aktor Beto Kusyairy lebih layak melakonkan watak Mat Kilau, pemeran utama naskhah tersebut, Adi Putra bagaimanapun tidak terasa hati dengan pendapat yang dikemukakan oleh warga maya.
Memetik laporan Getaran, pelakon dan usahawan itu menganggap peluang menjayakan watak utama dalam naskhah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan adalah rezeki yang diberikan Allah kepada dirinya.
"Saya memang rasa Beto sebagai seorang pelakon yang berbakat dan serba boleh. Jadi, tak ada masalah sekiranya dia yang membawakan watak Mat Kilau. Cuma mungkin sudah tertulis kali ini rezeki saya membawakan watak itu.
"Watak Mat Kilau terbatas kerana ia perlu selari dengan apa yang dicatatkan dalam sejarah. Inilah cabaran pelakon kerana mereka perlu menyampaikan watak itu sesuai dengan kemampuan mereka.
"Sukar sebenarnya untuk meyakinkan mata dan jiwa penonton terhadap watak yang kita bawakan. Saya rasa, kalau Beto yang bawakan watak ini, dia pun akan berhadapan kesukaran yang sama," katanya.
Jelas Adi, perbandingan tersebut hanyalah sekadar reaksi dan pandangan yang dilontarkan penonton.
Bagaimanapun, apa yang lebih penting adalah masyarakat harus tetap menyokong pelakon berbakat agar kehadiran mereka dalam industri akan tetap diingati.
"Antara saya dan Beto, tidak ada sesiapa yang rasa siapa lebih layak membawakan watak ini. Itu adalah perbandingan yang dibuat oleh masyarakat.
"Bagi saya, mana-mana pelakon serba boleh harus diketengahkan agar selalu diangkat masyarakat. Maklumlah, kita pun bersilih ganti dengan pelakon baharu yang sedia ada.
"Apa pun, Beto hebat. Itu yang boleh saya katakan," katanya. -CARI
|