Menerusi laporan Harian Metro, penerbit filem, Raja Azmi atau Kak Mi, 61, memasang impian untuk melihat filem terbitannya, Jerangkung Dalam Almari akan mencatat kutipan pecah panggung seperti naskhah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.
Raja Azmi berkata, dia reda dan menerima jumlah kutipan apa adanya namun jauh di sudut hati dia berdoa dan berharap filem genre seram itu mendapat sambutan baik apatah lagi dengan pembabitan Adi Putra dalam filem tersebut.
"Saya harap ada rezekilah untuk filem saya, Jerangkung Dalam Almari dapat mengutip kutipan box office apabila ditayangkan di pawagam nanti. Apatah lagi adanya pembabitan pelakon utama seperti Adi Putra.
"Semoga dapatlah juga filem ini mencipta kejayaan yang baik di pawagam nanti. Walaupun tidak sehebat penangan Mat Kilau namun saya teringin juga nak rasa filem saya meraih kutipan pecah panggung," katanya.
Bakal ditayangkan pada 4 Ogos depan, Raja Azmi mengakui sama sekali tidak berdebar langsung kerana pasrah dan reda dengan apa juga reaksi terhadap filem berkenaan.
Apa pun yang terjadi, perkara tersebut tidak akan memadamkan perjuangannya untuk terus menghasilkan filem.
"Saya rasa tak berdebar pun menantikan filem ini masuk ke panggung wayang. Perasaan saya biasa saja sebab dah pasrah dengan apa yang akan berlaku nanti kerana yang pasti perjuangan saya untuk terus buat filem tidak akan pernah putus," katanya. -CARI
|