Sumber IG
Rezeki figura dikenali sebagai Amsyar Lee ini bukan hanya dalam bidang nyanyian tetapi semakin berkembang apabila kini menerima lamaran untuk berlakon.
Meminati bidang lakonan, pemuda berusia 23 tahun itu bagaimanapun terpaksa melupakan impiannya buat sementara waktu kerana ingin memberikan tumpuan pada pelajarannya.
Memetik laporan mStar, selebriti yang juga pelajar jurusan Teater dan Produksi Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, dia menolak apa-apa tawaran lakonan kerana bimbang gagal membahagikan masa antara pelajaran dan kerjaya.
"Saya pernah menerima tawaran berlakon tetapi terpaksa tolak kerana terikat dengan komitmen masa. Ia adalah drama episod yang memerlukan masa yang agak lama.
"Sebab sekarang saya lebih selesa berikan fokus pada pelajaran jadi tawaran tersebut saya tolak kerana takut kalau buat perkara dalam satu masa menyebabkan saya gagal memberikan hasil berkualiti," katanya.
Walaupun cita-citanya adalah untuk bergelar pelakon, Amsyar bagaimanapun tidak ralat untuk melepaskan peluang tersebut.
"Ya, saya belajar teknik lakonan tetapi ini bukan masanya lagi. Saya sedang ini peluang untuk lebih dikenali kerana penonton akan melihat saya di televisyen.
"Namun, saya tidak kecewa kerana percaya pada rezeki. Setiap daripada kita sudah ditentukan rezeki masing masing.
"Sekiranya bukan sekarang, insya-Allah mas aakan datang pasti ada rezeki lain pula," katanya yang tampil dengan lagu baharu berjudul Mengintai Dari Tirai Kamar duet bersama Ezad Lazim. - CARI
|