|
Ebby Yus atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 57, bersyukur rumah pemberian kerajaan yang dibina di tapak rumah asal yang musnah dihanyutkan banjir pada tahun lalu kini sudah siap sepenuhnya di Kampung Paya Lebar, Hulu Langat.
“Alhamdulillah, rumah sudah siap. Sekarang saya tengah tunggu masa penyerahan kunci rumah. Kunci akan dapat dalam masa terdekat. Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan di atas sumbangan yang diberikan,” katanya.
Foto: IG
Meskipun rumah tersebut telah siap dibina, Ebby berkata, dia terpaksa berhadapan dengan masalah tanah rumah terhakis akibat sungai dan jambatan sungai yang terputus di hadapan kawasan rumahnya.
“Saya ada meminta bantuan dari pihak tertentu untuk selesaikan isu berkenaan kerana rumah saya sudah terlalu hampir dengan tebing sungai yang sudah runtuh, malah terdapat beberapa buah rumah penduduk lain yang turut terjejas.
“Masalah ini sudah saya usulkan dan mereka sedang berusaha serta berbincang untuk selesaikan masalah jambatan sungai yang terputus itu.
“Saya percaya jika perkara ini berlarutan, kemungkinan harta benda penduduk di sekitar sini akan mengalami kerosakan dan kemusnahan,” ujarnya kepada Kosmo!
Pelakon itu berharap agar proses kelulusan tambat sungai dapat dilaksanakan dalam tahun ini kerana bimbang keadaan itu akan melambatkan proses pemindahan rumah.
“Kalau proses tambak sungai lambat, kawasan rumah saya akan cepat terhakis. Lebih-lebih lagi kalau hujan lebat, tanah makin cepat terhakis,” katanya. -CARI
Sumber: Kosmo
|
|