Sumber IG
Pelakon, Datin Diana Danielle menceburi bidang seni sejak usianya masih muda. Kebelakangan ini, aktres tersebut dilihat lebih banyak terbabit dalam naskhah terbitan Over The Top (OTT).
Bagaimanapun, ibu kepada dua orang anak itu masih menerima tawaran untuk berlakon dalam produk dihasilkan stesen televisyen sekiranya skrip tersebut membuatkan dirinya teruja sebaik saja dibaca.
"Sebagai ibu yang menghargai masa, apabila kita mahu menerima sesuatu tawaran, pas ada beberapa perkara yang perlu difikirkan.
"Saya sukakan naskhah di mana apabila saya baca skrip, saya rasa seperti mahu melompat, barulah saya terima.
"Maksudnya, apabila tengok skrip, saya teruja. Saya sudah hilang keseronokan sebab saya sudah lama dalam industri seni iaitu sejak kecil. Jadi, saya rasa susah nak cari sesuatu yang mengujakan," katanya kepada Berita Harian.
Pernah berlakon dalam telefilem bersama Liyana Jasmay, dia masih ingat karakter yang diberikan dan tidak bertanyakan soal bayaran kerana hanya ingin rasa seronok ketika bekerja.
"Kita tahu Liyana ada pemikiran yang kelakar, skrip dia pun kelakar. Saya masih ingat, saya terima karakter yang diberi. Saya tak tanya soal bayaran kerana mahu berseronok apabila bekerja.
"Bagi saya, perkara ini, kalau kita tak jaga, minat dalam lakonan akan hilang," katanya yang tampil dengan karakter Nadia dalam siri She Was Pretty ditayangkan di Viu, sebuah karya adaptasi Korea Selatan dengan tajuk yang sama. -CARI
|