Sumber IG'
Penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana mendedahkan dia bakal mementaskan konsert solo berskala besar bagi meraikan dua dekad pembabitan dalam dunia seni.
Kata Nana, pihak pengurusannya sudah pun berbincang dengan penaja berpotensi bagi menganjurkan konsert solo pertamanya itu.
"Saya sangat teruja kerana impian untuk mengadakan konsert solo hampir tercapai. Sebelum ini, saya pernah mengadakan konsert juga tetapi bersama Alif Satar.
"Doakan semoga semuanya berjalan lancar dan impian saya untuk menghiburkan peminat dalam skala besar akan terlaksana," katanya kepada Berita Harian.
Ditanyakan mengenai lokasi yang menjadi pilihan wanita untuk mengadakan konsert tersebut, selebriti yang mesra disapa sebagai Nana itu berkata, dia berkemungkinan mementaskan konsert berkenaan di Istana Budaya (IB).
"Sudah menjadi impian saya untuk menganjurkan konsert di IB kerana ia lebih intim. Kita jangka konsert itu dianjurkan pada November depan," katanya.
Pemenang trofi Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 bercadang untuk mendendangkan tujuh buah lagu yang akan berkongsi perjalanan kisah suka duka dirinya dalam usaha mencipta nama sebagai artis serba boleh. -CARI
|