|
Padang Besar: Lelaki yang dipercayai membekalkan butiran peribadi orang awam yang diperoleh secara tidak sah bagi tujuan penipuan dalam talian sedang dikesan polis.
Ia susulan pembongkaran kegiatan sindiket penipuan pendaftaran kad SIM prabayar secara tidak sah minggu lalu.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, suspek dipercayai menjadi dalang dan disyaki membekalkan secara rawak senarai nama termasuk nombor kad pengenalan untuk didaftar kepada kad SIM prabayar sebelum dijual kepada sindiket penipuan dalam talian lain.
"Siasatan sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis. Kita mahu lihat dari segi penggunaan identiti orang lain yang digunakan oleh sindiket ini.
"Kemungkinan wujud senarai ribuan nama serta kad pengenalan orang awam dalam simpanan suspek yang digunakan bagi tujuan jenayah penipuan," katanya kepada pemberita selepas selepas menghadiri Majlis Pelupusan Barang Kes Daun Ketum di Balai Polis Trafik Padang Besar, di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya percaya suspek masih berada sekitar kawasan di negeri bahagian utara Semenanjung Malaysia ini.
"Kita sudah ada nama suspek dan siasatan merujuk kepada senarai nama serta maklumat peribadi yang diperoleh lelaki itu.
"Dalam masa sama juga, tujuh suspek sindiket penipuan pendaftaran kad SIM prabayar secara tidak sah berusia antara 19 hingga 35 tahun yang kita tahan Rabu minggu lalu itu sudah diberi jaminan polis dan mereka berada dalam siasatan SKMM pula untuk diambil keterangan berhubung kes berkenaan," katanya.
Jumaat lalu, polis membongkarkan kegiatan sindiket penipuan pendaftaran kad SIM prabayar secara tidak sah selepas menahan tujuh individu termasuk tiga wanita di sebuah premis di Jalan Cahaya, Taman Cahaya, Kangar.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... nipuan-dalam-talian |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|