Watak Yah Kuchai dilakonkan Afea Deanna Baharudean yang diperkenalkan oleh Allahyarham Mamat Khalid menerusi nakshah arahannya itu mendapat perhatian selepas tular dengan dialog 'mi kari kuah laksa'.
Karakter yang memiliki keunikan tersendiri itu sekali lagi tampil menerusi telefilem 18 Puasa. Pun begitu, selepas pemergian arwah, Afea menyifatkan Yah Kuchai juga sudah 'terkubur' bersama pengarah itu.
Memetik laporan mStar, seandainya sekali lagi ditawarkan untuk membawakan watak Yah Kuchai, Afea tetap dengan pendiriannya akan menolak tawaran tersebut. Baginya, hanya Mamat Khalid sahaja yang memahami watak berkenaan kerana arwahlah yang membawa nama tersebut ke persada seni.
"Terus-terang saya boleh katakan Yah Kuchai telah pun mati dalam naskhah terakhir... kemunculan saya sama seperti watak-watak lain seperti Husin yang Uncle Mamat kenalkan.
"Malah, hampir semua karakter yang diperkenalkan oleh arwah seperti Yah Kuchai hanya arwah saja yang betul-betul faham keperluan dalam naskhah beliau.
"Takkan ada lagi pengarah lain yang mampu cari personaliti menggantikan Yah Kuchai," katanya.
Kata Afea, karakter Yah Kuchai hanya eksklusif kepada naskhah arwah Mamat Khalid. Warisnya, Mohd Khalid Amen juga dilihat tidak mampu menyambung legasi peranan Yah Kuchai dalam naskhah selepas ini.
"Hanya arwah saja yang betul-betul mengerti watak Yah Kuchai," katanya lagi. - CARI
|