CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 324|Reply: 0

[Kedah] Kos bahan mentah naik, peniaga terpaksa naikkan harga

[Copy link]
Post time 22-6-2022 05:20 PM | Show all posts |Read mode

Peniaga roti canai, Mohd Najmuddin Md Noor menunjukkan roti canai yang dijual di gerainya dan akan dinaikkan harga berikutan kos bahan mentah yang meningkat. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Alor Setar: Peniaga makanan di negeri ini mendakwa terpaksa menaikkan harga disebabkan tidak dapat menampung kos bahan mentah yang makin meningkat.

Mereka mendakwa terpaksa berbuat demikian untuk menampung kos bayaran sewa tapak, pekerja, bekalan elektrik dan air serta membeli bahan mentah setiap hari.

Mohd Najmuddin Md Noor, 35, berkata, dia akan menaikkan lagi harga roti canai RM1.50 sekeping pada awal bulan depan jika masalah ini tidak dapat diatasi.

Katanya, harga roti canai sekarang yang dijual RM1.20 sekeping tidak memadai memandangkan kos membeli tepung, rempah ratus serta majerin juga meningkat.

"Saya guna tepung berkualiti yang agak mahal untuk menjaga kualiti roti canai bagi mengelak ia cepat rosak ketika ditebar.

"Mulanya saya tak mahu naikkan harga roti tapi semuanya terpaksa walaupun ada juga pelanggan merungut mahal namun semuanya terpaksa dilakukan," katanya ketika ditemui di gerainya di Medan Selera bersebelahan Hospital Lama Alor Setar, hari ini.

Mohd Najmuddin yang sudah 15 tahun menjalankan perniagaan roti canai berkata, jika sebelum ini dia menerima banyak tempahan namun ia berkurangan sejak peningkatan kos bahan mentah menyebabkan pelanggan hanya membeli sekadar yang mampu.

Katanya, harga sekeping roti telur pula meningkat RM2.50 sekeping berbanding RM2 sekeping manakala roti canai sotong RM7.50 sepinggan berbanding RM6 sepinggan.

"Pelanggan yang datang makan dan nak tambah roti pun fikir banyak kali kerana harganya agak mahal berbanding sebelum ini.

"Tapi sekiranya kerajaan dapat mengambil tindakan dengan menstabilkan semula kos bahan mentah, mungkin kenaikan harga makanan dapat diatasi segera," katanya.

Mohd Najmuddin berkata, bimbang dengan keadaan perniagaannya sekarang, dia kini membuka gerai makanan ala Thai untuk menampung pendapatan hariannya bagi membayar empat pekerja termasuk tukang masak.

Peniaga makanan, Zainab Ali, 50, berkata, kos bahan mentah yang meningkat menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga makanan untuk mengaut sedikit keuntungan bagi menampung perniagaannya.

Katanya, jika tidak menaikkan harga, sudah tentu mereka tidak dapat memperoleh semula pusingan modal serta membayar gaji pekerja yang turut meningkat.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerima banyak rungutan daripada orang ramai berhubung kenaikan harga barangan dan makanan terlalu tinggi ketika ini.

Beliau berkata, masalah itu paling dirasai golongan B40 yang mempunyai keluarga besar dan mereka perlu berjimat untuk membeli barangan harian.

"Saya berharap tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa untuk memantau harga barangan serta makanan di negeri ini bagi mengelak harga dinaikkan terlalu tinggi.

"Kerajaan juga perlu mengambil tindakan segera bagi mengelakkan pengguna terus dibelenggu masalah malah kita bimbang rakyat akan terus kemurungan memikirkan peningkatan kos sara diri ketika ini," katanya ketika dihubungi hari ini.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... paksa-naikkan-harga

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 07:42 PM GMT+8 , Processed in 0.072340 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list