Walaupun sudah beberapa kali aktres, Ruhainies, mendedahkan mengenai kekasihnya yang digelar Mr.E, bagaimanapun keakrabannya dengan aktor, Zul Ariffin, membuatkan netizen menganggap kedua-dua pelakon itu sebenarnya sedang bercinta.
Situasi itu sekaligus menyebabkan segelintir netizen membuat spekulasi hubungan pelakon wanita itu dengan Mr.E sudah berakhir disebabkan perasaan cemburu melihat kemesraan Ruhainies dan Zul.
Memetik laporan Media Hiburan, pemilik nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 29, menjelaskan dia sama sekali tidak kisah sekiranya netizen membuat tanggapan mengenai status hubungannya dengan Mr. E, ketika ini.
Ditanya tidakkah Mr. E kecewa melihat keakrabannya dengan Zul, Ruhainies mengakui setiap apa yang dilakukannya adalah mengikut keputusan sendiri.
"Saya rapat dengan Zul sebagai sahabat dan rakan artis. Sebab itulah saya memilih Zul sebagai rakan gandingan untuk promosi dalam klip video malam berinai yang di muat naik menerusi laman Instagram, sebelum ini.
"Saya tak mahu mengulas lanjut sama ada kami masih menjalinkan hubungan cinta atau sudah putus. Cukuplah dengan apa yang pernah dikongsikan pada peminat sebelum ini," katanya yang merancang untuk mendirikan rumah tangga pada tahun ini. -CARI
|