Tidak dinafikan, ada segelintir ibu bapa sanggup membelanjakan ribuan ringgit mengikut kemampuan mereka demi anak-anak.
Mungkin dilihat satu pembaziran oleh pihak tertentu namun hakikatnya, orang tua yang berhabis untuk anak-anak sama sekali tidak merasakan sedemikian.
Pelakon jelita, Anzalna Nasir turut mengakui dia dan suaminya sama sekali tidak kisah berhabis semata-mata untuk membeli pakai yang bagus buat anak-anaknya andai ada rezeki lebih dilimpahkan kepada mereka.
Kata Anzalna, ibu bapa sebaik-baiknya tidak berkira dengan anak-anak kerana mereka juga adalah pembawa rezeki. Dalam setiap rezeki yang datang itu pastinya ada terselit rezeki untuk anak-anak.
Menerusi Instagram, pendapat peribadi itu dikongsikan sebagai jawapan kepada soalan peminat yang diajukan menerusi ruangan Ask Me Question.
"Ada rezeki lebih, kongsi dengan anak. Jangan berkira sangat. Anak pembawa rezeki.
"No fake Stuff! Kesian anak kalau orang tau. Buat malu saja. Lebih baik shopping ikut kemampuan diri walaupun tak berjenama," tulisnya.
Terdahulu, Anzalna baru sahaja melahirkan cahaya mata kedua yang diberi nama Mohamad Emirhan pada tanggal 20 Mei lalu.
Bintang kelahiran Dewi Remaja 2009/2010 itu mendirikan rumah tangga bersama Hanif Zaki pada 2016. Pasangan itu terlebih dahulu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohamad Eidrees yang kini berusia dua tahun. - CARI
|