Buku dengan kulit berwarna putih dan tulisan hitam berjudul Cerita Hati Hafiz Hamidun itu menghimpunkan kata-kata positif yang merangkumi pelbagai topik terutamanya motivasi mengenai kehidupan.
Buku yang diterbitkan oleh Dubook Press itu juga terpalit dengan kontroversi kerana ramai yang beranggapan isi buku tersebut dipenuhi dengan gambar swafoto artis berkenaan dan tidak setimpal dengan harganya iaitu RM30.
Pun begitu, buku tersebut laris terjual sehingga 10,000 naskhah.
Datuk Fazley Yaakob
Selain menyanyi dan memasak, Datuk Fazley Yaakob juga adalah seorang selebriti yang menghasilkan buku resepi berjudul My Sucre Story. Menerusi tulisan itu, dia berkongsi perjalanannya dalam mengembangkan karier dalam bidang masakan.
Selepas menjuarai pertandingan MasterChef Selebriti Malaysia, Fazley kemudian membuat keputusan untuk mendalami bidang masakan di Paris.
Buku itu juga diselitkan dengan lebih 35 buah resepi makanan tempatan, pastri Perancis dan makanan Asia lain yang pernah disajikan di restorannya, SukaSucre Bistro.
Puteri Balqis
Pelakon cilik yang kini meningkat remaja, Puteri Balqis pernah menerbitkan buku bertajuk 38 Poems Of Puteri Balqis. Penerima Anugerah Televisyen Asia pada 2014 itu dikatakan menjual buku di sekitar Kuala Lumpur.
Katanya, dia menjual buku tulisannya itu di sekitar Masjid Jamek, Masjid India, Pasar Seni dan Jalan Petaling bagi menampung kehidupan seharian.
Sejak tahun 2018, Balqis memperlahankan karier lakonannya dan memberikan perhatian lebih kepada penulisan.
Mawi
Penyanyi yang kini bergelar pengarah dan penerbit, Mawi mencipta fenomena ketika menjadi peserta program realiti Akademi Fantasia pada tahun 2005. Mawi menulis sebuah buku berjudul Mawi Dalam Lautan Manusia yang menceritakan pengalamannya daripada seorang anak Felda Taib Andak, Johor kepada seorang selebriti.
Dia secara jelas menceritakan insiden gila yang dihadapinya termasuklah jeritan peminat dan bagaimana setiap konsertnya dibanjiri peminat yang hadir memberikan sokongan.
Dijual dengan harga RM45, Mawi berharap agar sesiapa yang membeli dan membaca buku itu menjadikan ia sebagai panduan khusunya untuk mereka yang berhasrat untuk menjadi anak seni.
Siti Nordiana
Penyanyi Siti Nordiana menerusi buku Life Goes On adalah sebuah buku autobiografi yang mengisahkan suka duka yang dihadapinya sepanjang meniti kehidupan sebagai ibu tunggal membesarkan seorang cahaya mata.
Mesra disapa sebagai Nana, dia mengambil masa dua tahun untuk menyelesaikan tulisannya kerana terlalu banyak kisah peribadi yang dikongsikan dalam buku tersebut. Bukan mudah untuknya menceritakan titik awal pembabitan dalam dunia seni suara sehinggalah kegagalan rumah tangganya.
Bagaimanapun, penat lelah Nana berbaloi apabila dia memenangi anugerah Buku Umum Terbaik kategori Autobiografi di Anugerah Buku Negara pada tahun 2019.
Selain nama-nama yang disenaraikan di atas, antara selebriti lain yang turut tampil dengan buku hasil tulisan mereka ialah Heliza Helmi yang menghasilkan beberapa buah naskhah antaranya Hijabista Hirahsista, Inspirasi Cinta Dunia Glamor, Diari Heliza Helmi dan Diari Seorang Mujahidah Kembara Syria.
Pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi pula pernah menjadi wartawan dan berguru dengan penulis seperti Abd Hadith dan Datuk Ahmad Taib di New Straits Times suatu ketika dahulu. Dia pernah menulis novel berjudul Yo! It's Me, Fifi dan Si Lembik.
Sementara itu, Mizz Nina juga pernah tampil dengan buku bertajuk Light For The Lost Soul setebal 288 muka surat. Wanita itu ketika berada di puncak kejayaan dalam bidang nyanyian tiba-tiba meninggalkan dunia populariti itu mencari cahaya ketenangan. Pengalaman hijrah itulah yang dikongsikan oleh Nina menerusi buku tersebut.
Buku mana yang anda pernah baca?-CARI