Walaupun tempoh proses edah antara Ellie Suriaty dan bekas suaminya, Azri Iskandar masih berjalan namun kenyataan pelakon lelaki itu yang bakal mendirikan rumah tangga bersama seorang wanita bernama Azra Diera Abdul Hamid dalam masa terdekat sama sekali tidak mengejutkan aktres berkenaan.
Memetik laporan Getaran, selepas bercerai dan membawa haluan masing-masing pada 17 Mei lalu, Ellie sama sekali tidak terkejut dengan berita tersebut bahkan sudah dapat menjangkakan perkara itu akan berlaku sepantas itu.
"Sebab itulah hati saya benar-benar bulat dan tekad untuk tarik diri daripada perkahwinan ini sebab saya dapat rasakana dia ada hubungan dengan wanita lain. Ketika failkan perceraian, saya tak perlu tanya untuk dapatkan kepastian atau kesahihan. Saya kenal dia sangat sebagai suami selama 19 tahun.
"Sepanjang tempoh itu, kami telah lalui susah senang sama-sama. Apabila ada perubahan dalam rumah tangga, saya tahu hati dia ada pada orang lain dan bukannya dengan saya lagi," katanya kepada Getaran.
Pahit untuk ditelan namun Ellie sama sekali enggan ambil tahu tentang siapa pun yang bakal dikahwininya. Dia memilih untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anak serta memberikan tumpuan pada karier seninya.
"Hidup ini terlalu bermakna untuk kita kusutkan fikiran dengan perkara seperti ini. Sebelum bercerai, saya sudah ambil keputusan yang cukup lama memikirkan baik buruknya. Saya juga sudah memohon petunjuk daripada Allah SWT.
"Azri tak tahu yang saya sebenarnya tahu apa dia lakukan di belakang saya. Tapi, naluri seorang isteri itu sangat kuat. Kita sendiri dapat rasakan perubahan yang sangat ketara. Lagipun, kami berkahwin bukan baru setahun dua.
"Benar, ada ramai perempuan di luar sana yang jauh lebih baik daripada saya tetapi mereka bukan Ellie Suriaty yang sangat faham siapa Azri Iskandar," katanya lagi.
Terdahulu, Ellie memfailkan permohonan cerai ke atas Azri dan melalui prosiding mahkamah, mereka disahkan bercerai pada 17 Mei lalu. Masing-masing sedang melalui proses edah selama tiga bulan yang akan berakhir pada 28 Ogos ini.
Sepanjang perkahwinan, Ellie dan Azri dikurniakan dua cahaya mata, Azrell Omar Azri Iskandar, 18, dan Nur Azreen, 13. -CARI
|